Kota Kinabalu : Festival Teater Universiti Malaysia Sabah (UMS) Opera X yang dianjurkan pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) baru-baru ini mampu menjadi platform kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dalam seni pementasan teater.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program yang dikendalikan oleh pelajar tahun tiga ASTiF itu juga merupakan wadah kepada satu proses pembelajaran bernilai kepada pelajar dalam menyampaikan mesej melalui persembahan.
“Menerusi acara ini juga pelajar berupaya memupuk semangat kerjasama, ketekunan dan kecekapan organisasi yang penting dalam pembangunan akademik dan sahsiah mereka.
“Justeru, penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya kepada tenaga pengajar dan panel penilai yang telah memberi sokongan kepada pelajar dalam menjayakan festival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin sempena Majlis Anugerah Festival Teater UMS Opera X yang berlangsung di Dewan Resital.
Tambah beliau, pengalaman yang diperoleh menerusi program tahunan ASTiF itu yang telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya itu akan memberi impak positif dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya para pelajar.
Terdahulu, Pengarah Festival Teater UMS Opera X, Nurul Intan Farain Sattar memaklumkan, pementasan teater tersebut merupakan penilaian bagi projek akhir pelajar tahun tiga Program Seni Kreatif Major Teater ASTiF.
Katanya, sejumlah enam pementasan teater dipersembahkan sepanjang enam hari berlangsungnya festival tersebut.
Pada malam anugerah festival itu, teater bertajuk Asrama-Ra yang dipentaskan oleh produksi Projek Pentas dinobatkan sebagai Johan Festival Teater UMS Opera X, manakala teater Sesudah Subuh oleh produksi Art in Motion dan teater Mencari Ricka oleh produksi Scaena Production masing-masing muncul sebagai Naib Johan dan pemenang tempat ketiga.
Hadir sama pada majlis anugerah tersebut Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam; Timbalan Dekan ASTiF, Dr. Rosli Sareya; Pengarah Galeri Azman Hashim UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit; dan Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf, Dr. Borhan Abdullah. – SABAH MEDIA / FOTO UMS