HomeUtamaMahkamah Utama Syariah mampu tingkatkan keadilan perundangan Islam di Sabah - Amisah

Mahkamah Utama Syariah mampu tingkatkan keadilan perundangan Islam di Sabah – Amisah

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin yakin kewujudan Mahkamah Utama Syariah bakal mengukuhkan lagi keadilan dalam pelbagai masalah melibatkan perundangan umat Islam di Sabah.

Menurut beliau, peruntukan baharu dalam Rang Undang Undang (RUU) Mahkamah Syariah Negeri Sabah iaitu mengenai kewujudan Mahkamah Utama Syariah merupakan satu inisiatif yang sangat ditunggu-tunggu bagi memperkasa status dan kuasa Mahkamah Syariah demi kebaikan dan manfaat masyarakat Islam.

Katanya, RUU Mahkamah Syariah Negeri Sabah akan membawa Mahkamah Syariah ke satu era baharu dan menempah sejarah tersendiri dalam landskap perundangan syariah di negeri ini.

“Saya percaya Sabah merupakan antara negeri terawal dalam memperkasa mahkamah syariah melalui kewujudan Mahkamah utama yang bakal kita luluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mulia ini.

“Jika sebelum ini kita hanya ada tiga peringkat Mahkamah Syariah maka dengan lulusnya RUU ini, Sabah bakal mempunyai empat peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah, ” katanya ketika membahaskan mengenai RUU Mahkamah Syariah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-16, kelmarin.

Dengan adanya mahkamah utama kata Amisah, maka orang ramai yang kes mereka didengar di mahkamah tinggi berpeluang melalui dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rayuan dan terakhir Mahkamah Utama. 

“Apa yang penting dengan kewujudan Mahkamah utama ini pihak warga JKSM Negeri Sabah akan lebih efisien dalam menegakkan keadilan dan mempermudahkan urusan umat Islam.

“Kita tidak mahu mendengar masalah kes tertunggak yang boleh menyusahkan rakyat. Carilah apa cara dan kaedah pun yang terbaik bagi mempermudahkan urusan orang yang berurusan di Mahkamah Syariah terutama sekali urusan yang menyangkut mengenai wanita yang teraniaya dan ibu-ibu tunggal, ” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amisah berkata JKSM perlu mempunyai bangunan sendiri di daerah-daerah, dan sekiranya belum diwujudkan kerajaan perlu menimbangkan untuk mewujudkan Mahkamah Syariah di setiap daerah.

“Saya juga meminta kerajaan agar skim gunasama bagi kaki tangan JKSM Sabah dikaji semula. Kembalikanlah Mahkamah Syariah di bawah pentadbiran negeri agar lebih banyak peluang bagi anak-anak Sabah yang berkelulusan Syariah Islamiah untuk menyumbang khidmat dalam lapangan atau jabatan ini, ” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular