HomeIsu tempatanMaritim Malaysia gagalkan cubaan seludup daging kering penyu, balat

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup daging kering penyu, balat

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan seludup daging spesis terancam yang dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot yang dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar jam 5 petang hari sama.

Katanya, semasa cuba menghampiri bot terbabit, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa Maritim Malaysia.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak kita telah menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang telah dicampak oleh suspek.

‘”Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan terlindung,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu dalam kejadian berasingan, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim Kudat telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan, anggota Zon Maritim Kudat telah menahan dua individu yang mengendalikan bot terbabit yang juga merupakan warga tempatan berumur lingkungan 17 dan 27 tahun.

“Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Maurice berkata, berikutan dua kejadian tersebut, Zon Maritim Kudat meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain turut membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Deklamasi puisi akan diadakan pada Majlis Makan Malam Hari Jadi Rasmi...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular