HomeIsu tempatanPPS Kuala Abai ditutup, semua mangsa berpindah ke rumah keluarga

PPS Kuala Abai ditutup, semua mangsa berpindah ke rumah keluarga

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Belud:   Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa kebakaran di Dewan Kampung Kuala Abai di sini ditutup secara rasminya mulai jam 7 malam semalam.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Bakri Nanun berkata, penutupan PPS itu adalah berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 dan menasihatkan para mangsa agar menumpang di kediaman keluarga masing-masing.

Pengumuman Bakri yang juga Pegawai Daerah itu mengundang pelbagai reaksi di peringkat awal namun, kesemua mangsa akur setelah mendapat penjelasan lanjut daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Usukan, Liasin Kaloh.

Terdahulu, Bakri mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mewakili Ketua Menteri Sabah dan ADUN Tempasuk, Arshad Bistari serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Diyanah Abdullah menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjumlah RM58,000 kepada mangsa kebakaran.

Sebelum ini, Salleh juga menyumbangkan RM10,000 kepada pasukan sukarelawan bagi menyediakan makanan serta minuman untuk 234 mangsa dari 58 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada 71 lelaki dan 62 wanita manakala 101 lagi merupakan golongan kanak-kanak serta bayi. 

Sementara itu, kakak kepada salah seorang mangsa, Jumrah Taim, 47, dari Kg Timbang Dayang yang sudah tiga hari berada di pusat itu secara sukarela untuk menawarkan bantuan tenaga kepada adiknya, Hamzah Taim bersama isteri yang sarat mengandung mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan.

Jumrah yang mengusahakan perniagaan butik pengantin kecil-kecilan mahu membantu adiknya membersihkan sampah sarap serta membeli kanvas untuk dijadikan atap dan penutup tingkap bagi rumah pusaka yang didiami mereka lima beradik sejak kecil, namun kini telah terbakar 60 peratus. 

“Ya saya memahami tindakan kerajaan menutup pusat ini sebab sudah tiga hari dibagi macam-macam bantuan dari banyak pihak..terima kasih kepada Ketua Menteri harap-harap bantuan baik pulih rumah itu dapat segera supaya rumah-rumah di sini dapat dibaiki,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud menerima panggilan pada jam 3.43 petang dan tiba di lokasi dengan jarak 13km pada jam 3.58 petang.

Operasi pemadaman yang diketuai oleh Komander Operasi, Farhad Abdullah ke atas 18 buah rumah jenis separuh kekal yang berkeluasan 3,600 meter persegi menggunakan 500 kaki, sua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air dari tangki jentera dan air terbuka (sungai). 

Pasukan berkenaan juga telah membuat Fire Break dan berjaya menyelamatkan 35 buah rumah daripada terus terbakar serta tiada kecederaan dan kematian dilaporkan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular