HomeUtamaKKTP sentiasa pastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat

KKTP sentiasa pastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat

Read Time:2 Minute, 35 Second

KUDAT: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sentiasa berusaha untuk memastikan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan diberikan kepada masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelbagai program dirancang dan objektif disusun rapi agar matlamat utama tercapai.

“Di era moden ini, kami di pihak Kementerian dan PBT sentiasa cuba untuk berfikir di luar kotak untuk memastikan kesejahteraan hidup dapat dicapai.

“Bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi meningkatkan taraf hidup serta memastikan keadaan persekitaran adalah selesa, mampu memberi kegembiraan dan seterusnya memastikan peningkatan kepada indeks kualiti hidup,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Pembangunan Komuniti Daerah Kudat bertemakan ‘Komuniti Prihatin’ di Dataran Tomborungus, di sini, hari ini. 

Program tersebut dianjurkan bersama oleh KKTP dan Lembaga Bandaran Kudat (LBK).   

Merakamkan penghargaan kepada LBK atas komitmen menjayakan program ini, Dr. Joachim berkata, Program Pembangunan Komuniti adalah antara program yang diletakkan dalam senarai KPI Kementerian sebagai usaha untuk mendekati komuniti setempat dan bagi membolehkan Kementerian untuk memahami keperluan semasa komuniti sesebuah daerah.

Selain itu, ia juga adalah salah satu inisiatif Kementerian untuk berkongsi maklumat berhubung isu-isu semasa dan mendapatkan feedback daripada orang ramai.

“Saya berharap apa yang telah disampaikan oleh para penceramah semasa sesi ceramah dapat dijadikan informasi yang berguna kepada semua yang hadir pada hari ini,” katanya, sambil menambah program sebegini juga akan diadakan di daerah-daerah lain.

Pameran, pertandingan mewarna dan kempen menderma darah turut diadakan semasa program tersebut, selain pemberian vaksin HPV secara percuma yang merupakan antara outreach programme kepada golongan sasar iaitu golongan yang berumur antara 13 hingga 20 tahun.

Program tersebut juga disekalikan dengan Lawatan Kembara Dr. Joachim ke beberapa buah daerah. Beliau baru sahaja selesai mengadakan Lawatan Kembara ke daerah Ranau dan Pitas kelmarin.

“Ini adalah usaha dan komitmen di pihak saya dan Kementerian untuk turun padang dan melihat sendiri pengoperasian PBT di setiap daerah,” katanya.

Dr. Joachim berkata, pada sebelah pagi hari ini beliau telah membuat lawatan ke pejabat LBK di mana beliau telah diberikan taklimat berhubung strategi dan perancangan serta cabaran yang dihadapi pihak LBK.

Beliau percaya pihak LBK akan sentiasa melaksanakan yang terbaik untuk daerah Kudat.

“Sememangnya cabaran dan halangan dalam memberikan perkhidmatan sentiasa ada, tetapi dengan kerjasama daripada semua pihak, ianya akan mampu untuk mengurangi jurang yang ada.

“Kudat adalah milik semua penduduknya, saya berharap akan ada usaha dan kerjasama daripada mereka semua untuk memajukan lagi daerah ini.

“Kudat adalah antara daerah yang mempunyai daya tarikan dan berpotensi untuk dimajukan. Adalah sesuatu yang merugikan sekiranya tidak ada kerjasama dari pelbagai pihak. Gunalah saluran yang betul dalam menyampaikan masalah serta cadangan. Kerjasama daripada semua pihak adalah jalan penyelesaian yang terbaik,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Joachim turut menyempurnakan perasmian pejabat baharu LBK.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais, Timbalan II Setiausaha Tetap Kementerian, Faridah Giau, Pegawai Daerah Kudat merangkap Pesuruhjaya Lembaga Bandaran Kudat, Alexander Yong; Pengerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan, Juprin Wong serta Ketua-ketua Masyarakat.

Sebelum itu, Dr. Joachim dengan diiringi Dr. Jamili mendengar taklimat Lawatan Kembara Ke Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Lembaga Bandaran Kudat, yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif, Harun Ariffin.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah bermula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular