Membakut : Lebih 100 peserta telah menyertai Pertandingan Kaligrafi Islam Nusantara kali ke sembilan pada tahun ini melibatkan beberapa kategori yang dipertandingkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara yang dipertandingkan adalah seperti Khat Nusantara (Asia Tenggara); Khat Kebangsaan dan Khat Borneo.
“Pada tahun ini penyertaan dari sudut pertandingan peringkat Asean, seramai lebih 100 peserta telah menyertai antaranya dari seluruh Asean; Asia Tenggara dan Kebangsaan juga ramai selain peringkat Borneo.
“Alhamdulilah, penyertaan kali ini akan menggerakkan kita untuk meneruskan program sama pada masa akan datang. Sudah hampir 10 thun kita mengadkaan program berhubung Khat sementara Mahrajan adalah kali ke-12, melainkan pada COVID-19 kita tidak laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kaligrafi Islam Nusantara kali kesembilan di sini semalam.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, pihaknya juga bercadang untuk membuka penyertaan kaligrafi diperingkat dunia namun akan memberi fokus di peringkat Asia Tenggara pada masa ini.
“Alhamdulillah dengan penglibatan yang bertambah-tambah, kita akan gerakkan lagi usaha ini. Dengan bengkel dan di samping itu, yang sangat penting bagi kita adalah bagaimana untuk menggalakkan anak-anak kita meminati bidang seni budaya ini, khususnya Khat.
“Selain itu juga seni-seni yang lain, kompang, khadrah, marhaban, ini semakin ditinggalkan dan mesti kita hidupkan semula.
“Sebab itu, kita adakan program seumpama ini dan di samping itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) juga akan menghidupkan kembali pertandingan marhaban, berzanji dan khadrah,” katanya. – SABAH MEDIA