Kota Kinabalu : Sebanyak 1,888 sambungan paip air haram di negeri ini berjaya dipotong dalam operasi pemotongan yang dijalankan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, operasi pemotongan yang dijalankan JANS itu akan terus dilaksanakan sehingga ianya dapat diminimakan.
“Daripada jumlah sambungan paip haram yang berjaya dipotong, sebanyak 339 pemotongan dilakukan pada Januari lalu; Februari (407 pemotongan); Mac (250 pemotongan); 241 pemotongan pada April; 330 pada Mei dan 321 pemotongan pada bulan lalu.
“Pemotongan paip haram ataupun sambungan haram memang terus kita lakukan seperti mana yang kita laporkan beberapa minggu lalu sejak Januari.
“Setiap bulan ada saja pemantauan oleh bahagian penguatkuasa JANS terhadap sambungam haram ini,” katanya di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, daerah Kota Kinabalu menjadi antara daerah tertinggi yang merekodkan jumlah pemotongan bagi tempoh enam bulan pertama.
“Setakat ini ianya berfokus di kawasan Kota Kinabalu, tetapi tidak juga menafikan di kawasan atau daerah lain di Sabah. Kita akan terus lakukan operasi ini sehingga ia dapat diminimakan,” katanya. – SABAH MEDIA /FOTO JANS