HomeIsu tempatanUMS terima 468 pelajar baharu program asasi, 40 asasi agrisains

UMS terima 468 pelajar baharu program asasi, 40 asasi agrisains

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kumpulan pertama program Asasi Agrisains menerusi saluran UPU Online pada sesi pendaftaran pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) universiti itu.

Seramai 468 pelajar mendaftar program Asasi di UMS tahun ini dengan jumlah 40 daripadanya program Asasi Agrisains, 96 Asasi Teknologi Maklumat dan 332 Asasi Sains.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pelajar-pelajar Asasi Agrisains tersebut akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan selepas tamat pengajian asasi kelak.

“Ini merupakan salah satu inisiatif UMS untuk menambah pelajar dalam bidang pertanian dan sekali gus menambah bilangan keperluan graduan dan tenaga kerja dalam sektor pertanian apabila mereka tamat pengajian.

“Pada masa kini, kampus UMS Sandakan mampu menampung seramai 1,000 pelajar dalam satu masa. Maka dengan adanya program Asasi Agrisains ini, kita dapat meningkatkan jumlah pelajar bidang pertanian di kampus tersebut.

“Kita berbesar hati menerima pelajar bukan sahaja dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung untuk mengikuti program asasi sains di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sesi ramah mesra bersama pelajar baharu program Asasi UMS, baru-baru ini.

Kasim berkata, bagi pelajar-pelajar program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat pula akan melanjutkan pengajian menerusi program ditawarkan di fakulti-fakulti sains UMS yang akan merancakkan bidang STEM dan TVET.

“Bidang STEM dan TVET amat penting pada masa kini. Justeru, UMS turut bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan negara mampu melahirkan pelajar dan graduan unggul dalam bidang tersebut,” katanya.

PPST UMS ditubuhkan pada tahun 2010 dengan misi untuk membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas pengetahuan sains yang kukuh untuk bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.  – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular