HomeUtamaKPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited meneroka ruang dan peluang baharu untuk berkolaborasi dengan para pemegang taruh bagi meningkatkan penyertaan golongan belia yang berpotensi dalam bidang pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini termasuklah projek kerjasama strategik pihak Agrobank dan beberapa universiti tempatan menerusi Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah (PROBEST).

Katanya, program itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen Agrobank dalam memberi perkhidmatan kepada segenap lapisan masyarakat bagi membantu pelajar asnaf menjana pendapatan.

Menurutnya, ia termasuklah bagi meningkatkan taraf kehidupan seterusnya memangkin daya untuk keluar dari garis kemiskinan sejajar dengan aspirasi kerajaan menyemarakkan agenda keterangkuman sosial.

“PROBEST Edisi Sabah pada kali ini merupakan manifestasi Agrobank dalam mewujudkan peluang kepada golongan belia di universiti terutamanya golongan sasaran termasuk B40 dan asnaf.

“Ini adalah untuk menjana pendapatan serta meningkatkan pengetahuan keusahawanan dalam sektor pertanian atau penternakan. 

“Sehingga Jun lalu, hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam ternakan benih ikan air tawar telah berjaya menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM7,484 dan projek ini masih dalam fasa penternakan dan penjualan yang memberi manfaat kepada 15 orang peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada PROBEST Edisi Sabah di Pusat Inkubator Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS di sini semalam.

Arthur berkata, pendapatan sebanyak RM25,855 berjaya dihasilkan melalui kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam ternakan rumpai laut di Kunak dengan penyertaan enam orang belia tempatan.

Katanya, ternakan itu telah dilaksanakan untuk dua musim dan kini projek tersebut telah memasuki musim ketiga.

“Saya percaya dengan peruntukan dana yang diberikan untuk pembangunan infrastruktur projek, bimbingan teknikal daripada syarikat peneraju dan juga latihan keusahawanan melalui Agrobank keberhasilan program ini dapat dicapai dan seterusnya menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pembaharuan dalam RMK13 pastikan projek lambat, sakit dikurangkan – Rafizi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular