HomeUtamaJKNS terus berusaha tingkat taraf kesihatan mulut penduduk di Sabah

JKNS terus berusaha tingkat taraf kesihatan mulut penduduk di Sabah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Beaufort : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf kesihatan mulut penduduk di negeri ini termasuk menggalakkan amalan pencegahan sebagai rutin kehidupan.

Pengarah JKNS Datuk Dr Asits Sanna berkata, ia termasuklah memberus gigi dua kali sehari secara berkesan  dan  menggunakan  ubat  gigi  berfluorida,  berkumur  setiap  kali  selepas makan, mengamalkan pemakanan sihat dan beberapa amalan lain bagi mencegah penyakit pergigian.

“Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan pergigian, JKNS secara expansionary meluaskan perkhidmatan melalui jaringan Klinik Pergigian, Klinik Pakar Pergigian, Klinik Pergigian Sekolah, Klinik Pergigian Bergerak dan Pasukan Pergigian Bergerak.

“Pada tahun ini,JKNS telah mendapat kelulusan Projek Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK12) Rolling Plan 4 untuk perolehan tiga Klinik Pergigian Bergerak yang baharu yang merangkumi tiga bas coaster untuk daerah Penampang, Keningau dan Kudat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (KPKP) 2024 peringkat negeri Sabah di sini semalam.

Dr Asits berkata, di samping itu, kelulusan juga diperoleh untuk penubuhan empat Pasukan Pergigian Bergerak sebagai sebahagian daripada peluasan perkhidmatan di Klinik Pergigian Kepayan, Klinik Pergigian Luyang, Klinik Pergigian Telupid dan Klinik Pergigian Tawau.

Katanya, dalam usaha mengekang karies pergigian, pencegahan secara strategi populasi seperti pemfluoridaan bekalan air awam dan kumuran mulut berfluorida turut diperluaskan.

“Sejumlah 31 buah sekolah rendah dengan bilangan murid 2,970 orang secara konsisten mengikuti program kumuran berfluorida pada setiap minggu persekolahan di seluruh negeri Sabah.

“Melalui usaha-usaha seperti yang dinyatakan adalah diharapkan lebih ramai penduduk di negeri Sabah dapat menerima kemudahan kesihatan pergigian sama ada khidmat penggalakan, pencegahan dan rawatan kesihatan pergigian.

“Secara tidak langsung ianya akan meningkatkan taraf kesihatan mulut di negeri ini,” katanya.

Tambahnya lagi, JKNS juga menyeru orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi pengesanan awal masalah kesihatan pergigian.

MPKP yang disambut dari 15 Julai hingga 27 Julai lalu di Sabah adalah satu daripada inisiatif dalam memupuk kesedaran orang ramai akan kepentingan penjagaan kesihatan pergigian sepanjang hayat.

Antara aktiviti yang dianjurkan di seluruh negeri adalah ceramah kesihatan pergigian oleh pakar-pakar dan pegawai- pegawai pergigian melalui pelbagai media massa dan media sosial, pameran, saringan dan pemeriksaan pergigian percuma, sapuan fluorida, permainan interaktif, pertandingan aerodance, pertandingan memberus gigi berirama, pertandingan pidato, pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan kuiz dan persembahan buskers pergigian. – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular