HomeUtamaKPDN rangka gerakan libatkan orang ramai banteras ketirisan barang kawalan bersubsidi

KPDN rangka gerakan libatkan orang ramai banteras ketirisan barang kawalan bersubsidi

Read Time:2 Minute, 14 Second

Kinabatangan: Gerakan massa untuk melibatkan orang ramai sedang dirangka bagi tujuan memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keutamaan akan diberikan kepada barang kawalan bersubsidi bahan api diesel dan RON95.

Katanya, gerakan itu dilaksanakan susulan daripada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung.

Menurutnya, keputusan pengecualian Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam penyasaran subsidi diesel pada masa ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor.

“Di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), satu gerakan massa yang melibatkan orang ramai sedang dirangka untuk membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.

“Penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah penafian hak subsidi rakyat.

“Perbuatan memperdagangkan bantuan subsidi secara haram dan bertentangan dengan undang-undang merupakan sabotaj ekonomi negara dan agenda kerajaan dalam penyaluran bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Stesen Minyak PETRONAS Bukit Garam di sini hari ini.

Armizan berkata, pihaknya menyeru semua pihak termasuk orang ramai terus menjadi mata telinga Kerajaan dalam menyalurkan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan negara dan rakyat ini dapat dibanteras.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian.

“Kerajaan tidak pernah menafikan isu ketirisan yang meliputi penyelewengan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Sehubungan itu, Kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu, Armizan berkata, keputusan pengecualian penyasaran subsidi diesel dibuat adalah kerana kebergantungan tinggi pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor keperluan mengambil kira faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air.

Selain itu katanya, pertimbangan risiko kesan rantaian mengambil kira kadar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk pemprofilan penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengangkutan awam serta barangan.

“Atas faktor-faktor tersebut, Kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dianggarkan subsidi bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2024 ialah mencecah RM3.6 bilion,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular