HomeIsu tempatanKESUMBA disaran terus giat aktiviti beri manfaat kepada masyarakat

KESUMBA disaran terus giat aktiviti beri manfaat kepada masyarakat

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) disaran untuk terus menggiatkan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahlinya serta masyarakat sekeliling.  

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pelaksanaan program latihan kemahiran, bengkel keusahawanan, dan seminar kesihatan wanita sangat dialu-alukan bagi menyokong usaha tersebut. 

“Kewujudan KESUMBA sendiri semakin terlihat dengan pertambahan ahli iaitu daripada 578 ahli pada tahun lalu yang telah meningkat kepada 607 pada tahun ini.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kakitangan wanita dan isteri-isteri kepada kakitangan UMS untuk mendaftar sebagai ahli KESUMBA agar kelab ini boleh bergiat dengan lebih aktif secara skala yang lebih besar,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung KESUMBA Kali Ke-27 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini. 

Kasim berkata, mesyuarat agung tahunan KESUMBA adalah satu platform yang penting untuk semua ahli menilai kembali perjalanan kelab sepanjang tahun lalu, dan merancang serta menetapkan hala tuju untuk tahun akan datang.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk anda semua melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dan juga cabaran yang telah dihadapi oleh kelab.

“Peranan wanita dalam masyarakat pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi, dengan wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, tetapi juga dalam pembangunan negara.

“Untuk itu, ucapan tahniah kepada semua ahli KESUMBA atas usaha gigih dan komitmen yang telah ditunjukkan, dan diharapkan kelab ini terus maju dan berjaya mencapai matlamat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua KESUMBA, Datin Aidah Mohd Ali turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli jawatankuasa dan ahli-ahli KESUMBA yang telah memberikan sokongan dan dorongan dalam pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun. 

“Kejayaan kita adalah hasil usaha bersama, dan saya yakin dengan kerjasama yang erat, kita akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis tersebut, KESUMBA turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada anak-anak ahli yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Hadir sama,  Timbalan Yang Dipertua KESUMBA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KESUMBA, Dr Suraya Sintang; Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Nur Alliyah Ku @ Ku Chen Jung; dan Pengerusi Mesyuarat Agung Tahunan KESUMBA Kali-27, Muhajirah Muchlish. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Idola Darau’ akan dikembangkan lagi tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular