HomeUtamaSambutan serentak Hari Kebangsaan, Hari Sabah langkah Kerajaan kukuhkan institusi kenegaraan

Sambutan serentak Hari Kebangsaan, Hari Sabah langkah Kerajaan kukuhkan institusi kenegaraan

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu : Sambutan serentak Hari Sabah dan Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 31 Ogos ini disifatkan sebagai langkah kerajaan bagi mengukuhkan institusi kenegaraan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  selepas penubuhan Malaysia 61 tahun lalu, Sabah buat julung kalinya akan meraikan hari bersejarah selepas kerajaan negeri bersetuju mewartakan sambutan Hari Sabah. 

“Hari Sabah merupakan satu hari yang paling bersejarah bagi negeri ini kerana pada tarikh tersebut sepatutnya Sabah sudah bersama-sama menubuhkan kerajaan Malaysia. 

“Sebenarnya, 31 Ogos itu kita sudah diberi kebebasan memerintah sendiri oleh penjajah ketika itu kerajaan British tetapi, kerana ada beberapa masalah teknikal maka kita menunggu 16 hari kemudian untuk dapat menubuhkan kerajaan Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024 di Menara Kinabalu di sini.

Mengulas lanjut mengenai sambutan itu, Hajiji berkata, perkara itu turut dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat dukungan penuh daripada kerajaan Persekutuan.

“Hari Sabah mesti kita raikan supaya rakyat mengingati sejarah ini dan saya telah maklumkan Perdana Menteri mengenai perkara ini jadi beliau menyatakan kita tiada masalah.

“Lebih baik tarikh yang bersejarah ini jangan terbuku di hati rakyat Sabah…lebih baik kita raikan bersama kerana bagi saya langkah ini boleh mengukuhkan institusi kenegaraan Malaysia.

“Inilah tujuannya kita meraikan tarikh bersejarah Hari Sabah bersama dengan Hari Kebangsaan, ia bukanlah untuk menggantikan hari kebangsaan tetapi untuk kita sama-sama memeriahkan sambutan.

“Saya juga beritahu rakan-rakan dalam kabinet bahawa kita mesti mengutamakan kepentingan negara jadi, kita raikan bersama tiada isu atau tujuan lain-lain itu tidak boleh,” katanya.

Mengenai persiapan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September depan, Hajiji berkata, persiapan tersebut melibatkan beberapa agensi persekutuan dan negeri menerusi mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

“Pada tahun ini, Sabah akan menjadi tuan rumah merayakan Hari Malaysia setelah tahun lalu diadakan di Kuching Sarawak. Bagi saya, Hari Malaysia ini cukup bersejarah dan mesti diraikan kerana pada tarikh inilah negara kita ditubuhkan.

“Jadi,selain daripada Hari Kebangsaan, Hari Malaysia mesti diraikan oleh rakyat sama ada di Sabah, Sarawak dan di Semenanjung, kita kena bagi keutamaan kepada Hari Malaysia,” katanya.

Hadir sama pada temubual terbabit ialah Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024; Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli dan Ketua Penyunting Berita Ehwal Semasa RTM Sabah, Miriam Ajem.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular