HomeUtamaLelaki miliki minyak petrol tanpa lesen dihukum denda RM20,000

Lelaki miliki minyak petrol tanpa lesen dihukum denda RM20,000

Read Time:1 Minute, 31 Second

SEMPORNA: Seorang individu lelaki berusia 26 tahun dikenakan hukuman denda sebanyak RM 20,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas kesalahan memiliki barang kawalan minyak petrol tanpa lesen dan cuba diseludup ke negara jiran.

Tertuduh Abdullah Asadan mengaku bersalah atas kesalahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Ahmad Faizadh Yahaya.

Hakim Faizadh selanjutnya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 20,000 dan jika gagal bayar maka hukuman penjara enam bulan dikenakan terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, semasa tangkapan, didapati tertuduh Abdullah Asadan memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 2,080 liter di dalam 70 jerikin di dalam bot kayu berwarna kelabu taris merah yang disyaki cuba membawa barang kawalan tersebut menuju ke negara jiran iaitu ke Sitangkai, Filipina.

Tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki.

Tangkapan kes tersebut dilakukan di kawasan Perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum, Semporna oleh sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Bum Bum, Semporna dan kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Pendakwaan bagi kes ini telah dijalankan Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Semporna, Dr Jong Jee Leong.

Sementara itu, Dr Jong berkata, KPDN Cawangan Semporna tidak akan berkompromi dengan aktiviti melibatkan barang kawalan dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular