HomeUtamaLagu 'AnugerahMu' dicipta khas buat ZulFiras, putera sulong Min & Julfekar

Lagu ‘AnugerahMu’ dicipta khas buat ZulFiras, putera sulong Min & Julfekar

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lagu berjudul “AnugerahMu” yang dilancar baru-baru ini dicipta khas buat putera sulong penyanyi Min Yasmin dengan komposer serta penulis lirik terkenal, Julfekar Ahmad Shah.

Menurut Min, lagu yang dilancarkan itu penuh makna buat dirinya dengan suami yang mengisahkan luahan rasa syukur penantian mendapatkan cahaya mata mereka sejak 10 tahun mendirikan rumahtangga.

Akhirnya pada detik 16 September 2023 bersamaan Hari Malaysia, Min selamat melahirkan bayi lelaki yang comel diberi nama Muhammad ZulFiras.

Min berkata, selain penantian mendapatkan anak, lagu tersebut juga mengisahkan pengalaman perjalanannya yang penuh dengan cabaran selama mengandung dan melahirkan ZulFiras ke dunia.

“Ketika sedang busy Recording dan Shooting beberapa bulan di Filipina, tanpa sedar, Min rupanya sudah mengandung empat bulan.

“Dalam pada itu, bermacam-macam ujian Min lalui. Ketika mengandung, sepanjang masa Min kena monitor Blood Pressure yang sentiasa tinggi, check up ke klinik, dua hari sekali. Tiga kali juga kena angkut ambulans ke hospital dan warded,” kongsinya.

Namun pada kandungan mencecah 30 minggu, Min terpaksa melahirkan bayinya secara pembedahan disebabkan bacaan tekanan darahnya tinggi.

“Sehinggalah saat Min perlu melahirkan secara emergency disebabkan tekanan darah tinggi yang membawa implikasi pada bayi, akhirnya terpaksa dilakukan pembedahan ketika bayi berusia 30 minggu dalam kandungan.

“Alhamdulillah lahirlah bayi pramatang kami, Muhammad ZulFiras Bin Julfekar dengan berat hanya 880 gram pada 16 September 2023 bersamaan dengan Hari Malaysia.

“Dua bulan baby ZulFiras terpaksa ditempatkan dalam incubator sehingga mencecah berat 2 kilogram,” katanya ketika ditemui Sabah Media baru-baru ini.

Min berkata, sebelum ini dia kurang mengetahui mengenai kelahiran bayi pramatang sehinggalah dia mengalaminya sendiri. Namun, dia bersyukur kerana suaminya Julfekar banyak membantu dalam penjagaan ZulFiras.

“Ada orang kata, bayi pramatang sama saja dengan bayi yang lain. Tetapi sebenarnya banyak perbezaannya kerana perlu diberi tumpuan kerana bayi pramatang sebenarnya lebih mudah terkena jangkitan.

“Sehingga kini walaupun sudah menghampiri usia hampir setahun tetapi kami bimbang dan kurang dedahkannya dengan persekitaran di luar.

“Syukur Alhamdulillah, kini ZulFiras membesar dengan sihat dan kuat,” katanya sambil berkongsi cerita mengenai penggambaran muzik video AnugerahMu itu dijalankan ketika ZulFiras berusia tiga bulan dan lokasi penggambaran di Simpang Mengayau, Kudat.

Dalam pada itu, Min dan Julfekar turut meluahkan rasa penghargaan kepada pihak yang telah membantu dengan baik sepanjang rawatan sehinggalah kelahiran bayi mereka.

“Terima kasih kepada semua jururawat dan doktor Klinik Kesihatan dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas yang telah memberikan rawatan dan layanan yang terbaik buat Min.

“Juga terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang sentiasa mendoakan kami dari dulu hingga kini,” ujarnya.

Lagu ‘AnugerahMu’ boleh ditonton melalui https://youtu.be/xSlcJWkAuFc

RELATED ARTICLES
Utama

JUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular