HomeUtamaDua lokasi kehadiran populasi buaya dikesan di bandaraya KK

Dua lokasi kehadiran populasi buaya dikesan di bandaraya KK

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Dua lokasi kehadiran populasi buaya dikesan di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, kehadiran reptilia itu dikesan menerusi satu operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandar raya ini pada 19 hingga 20 Ogos lalu.

“Hasil pelaksanaan operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Ogos lalu telah berjaya mengesan dua lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya iaitu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, DBKK.

“Pemantauan bot rondaan dan dron telah merumuskan jumlah populasi buaya di Bandaraya Kota Kinabalu adalah terkawal.

“Bagaimanapun, operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan bagi memantau populasi buaya sekitar bandar raya,” menurut kenyataan itu di sini semalam.

Menurut DBKK, operasi yang dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam itu  berpusat Jeti Taman Cycleway Phase 3 berhadapan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.

Operasi itu turut meliputi kawasan Taman Awam Teluk Likas I, Sungai Darau-Kalansanan dan Bengkel Depoh, DBKK.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.

“Operasi ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk daripada ancaman hidupan liar,” tambah kenyataan itu di sini.

Operasi selama dua hari itu melibatkan seramai 65 anggota daripada Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya yang dianggotai oleh DBKK, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Taman-Taman Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

JPJ Sabah terima lima unit kenderaan operasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular