HomeUtamaProgram Komuniti Pintar: Memulihkan ekosistem bakau di Sandakan

Program Komuniti Pintar: Memulihkan ekosistem bakau di Sandakan

Read Time:1 Minute, 25 Second

SANDAKAN: Sebanyak 2,000 anak benih pokok bakau Bankita (Rhizophora apiculata) ditanam di Hutan Simpan Sungai Gum Gum dan Sungai Loboh di sini, hari ini (27 Ogos).

Para peserta merakamkan gambar kenangan semasa program pemulihan ekosistem bakau di Sandakan hari ini.

Usaha murni pemulihan ekosistem bakau ini dilaksanakan melalui Program Komuniti Pintar (Smart Community Programme) bertemakan ‘Tanam Bakau, Tanam Harapan Demi Masa Depan dan SDG’.

Program ini merupakan kerjasama strategik antara Pusat Penyelidikan Perhutanan Sandakan Sabah (FRC) dan International Society Mangrove Ecosystem (ISME), dengan penyertaan aktif daripada wakil Jabatan Perhutanan, Dr. Joseph Tangah, Timbalan Ketua (Pentadbiran & Pembangunan) FRC yang juga merupakan ahli ISME.

Seramai 251 peserta termasuk pegawai pengiring dan peserta Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2024 daripada Politeknik dan Kolej Komuniti menyertai program ini.

Program ini bukan sahaja memberi fokus kepada pemuliharaan ekosistem bakau, malah turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 14 yang menekankan kepentingan tadbir urus marin dan pantai.

Usaha pemulihan hutan bakau juga sejajar dengan SDG lain termasuk membasmi kemiskinan dan kelaparan (SDG 1 dan 2), memastikan pertumbuhan ekonomi dan mata pencarian mampan (SDG 8), serta menghentikan kehilangan biodiversiti bakau.

Program ini telah memberi pelbagai impak positif, antaranya melatih dan memberi pendedahan kepada peserta terlibat mengenai kepentingan, teknik penanaman dan penjagaan pokok bakau, memupuk kesedaran tentang pentingnya memelihara ekosistem bakau demi kesejahteraan generasi akan datang.

Selain itu program ini juga memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, dan NGO dalam usaha pemulihan hutan bakau dan mencapai SDG.

Program Komuniti Pintar ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pemuliharaan alam sekitar pada masa akan datang.

Kerjasama erat antara pelbagai pihak adalah kunci kejayaan dalam memastikan kelestarian ekosistem bakau dan mencapai matlamat pembangunan mampan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Agong, Raja Permaisuri ucap Selamat Hari Krismas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular