HomeUtamaCitra Sejarah Negeri Sabah perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah - Arifin

Citra Sejarah Negeri Sabah perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah – Arifin

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar Citra Sejarah Negeri Sabah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata perkara itu telah dicadang dan dikemukakan kepada pihak KPM untuk memastikan anak-anak di negeri ini dapat menghayati fakta sebenar sejarah negeri Sabah.

“Ini adalah salah satu dalam Kluster Pendidikan saya dan saya sendiri telah mempengerusikan dalam Kluster Pendidikan ini, kita telah cadangkan dan kemukakan agar salah satu daripadanya adalah memasukkan Citra Sejarah Negeri Sabah di dalam kurikulum untuk memastikan anak-anak kita dapat menghayati sejarah negeri Sabah.

“Ini antara perkara yang kita kemukakan yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Kluster Pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Dan Sumbangan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada pelajar IPTA/IPTS Bersama Yayasan Sabah di sini, hari ini.

Menurut Arifin, perkara mengenai memasukkan sejarah Sabah ke dalam kurikulum sekolah itu sudah dibincang di peringkat pelaksana dan akan dilaksanakan ke peringkat antara menteri selepas itu dibawa ke mesyuarat bersama Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Setakat ini kita sudah mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu lebih 10 kali untuk memperhalusi apa-apa perkara yang kita ingin kemukakan membabitkan beberapa jawatankuasa iaitu Setiausaha Tetap (SUT), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN), Timbalan Setiausaha (TSU) Pendidikan kemudian jawatankuasa di peringkat menteri dan exco seterusnya jawatankuasa di peringkat atasan,” jelasnya.

Sementara itu, seramai 49 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta pengajian luar negara dari pelbagai bidang menerima sumbangan TPNS.

Arifin berkata, ini adalah kali ke- 6, bantuan TPNS itu disampaikan dan hari ini melibatkan lebih RM400,000 bantuan kewangan yang diserahkan kepada 49 orang penerima.

“Semua ini untuk membantu anak-anak kita dalam bidang pendidikan termasuk yuran, bantuan sara hidup, dan bantuan-bantuan ini juga diberikan kepada pelajar IPT di dalam dan luar negara.

“Tujuannya seperti mana yang diharapkan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar dapat membantu anak-anak disamping Tabung Pendidikan Negeri Sabah ini mendokong apa yang ada misalnya daripada Yayasan Sabah , Biasiswa Kerajaan Negeri, inisiatif-inisiatif kerajaan negeri daripada Pejabat Tugas-tugas Khas.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih kurang RM6 juta untuk membantu kira-kira 5,000 pelajar dapat manfaat daripada bantuan berkenaan,” katanya.

Hadir sama Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Ghulam Khan Haidar Bahadar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.

RELATED ARTICLES
Utama

Festival Kompang Papar: Menyemarakkan Tradisi Tahun Baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular