Kota Kinabalu : Nurul Azurin Mazlan berjaya menjadi ‘wirawati’ buat pasukan bola sepak wanita Sabah FA apabila berjaya menyelamatkan banyak cubaan berbahaya APF FC dari Nepal dalam saingan Kumpulan C pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, malam tadi.
Perkara itu diakui pengendali skuad bola sepak wanita Sabah Justin Ganai dalam satu sidang media selepas tamat perlawanan semalam.
“Bagi saya, perlawanan yang seimbang. Walaupun kita melihat Nepal mempunyai lebih peluang namun saya berterima kasih kepada Azurin yang menyelamatkan banyak peluang.
“Saya fikir kita sudah bermain sebaik mungkin, tapi mungkin di situ had permainan kami. Dan harap dalam perlawanan yang akan datang, kita boleh bermain lebih baik dari itu,” katanya.
Kecekapan penjaga gol wanita nombor satu Malaysia itu memaksa pasukan lawan yang lebih agresif sepanjang perlawanan, berkongsi satu mata dengan tuan rumah apabila perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.
Nurul Azurin terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang Sabah bermula seawal minit pertama lagi berikutan tindakan agresif pemain APF yang berusaha mencari gol kemenangan setelah tewas 1-0 di tangan PFC Nasaf dari Uzbekistan pada perlawanan pertama, Ahad lalu.
Sekurang-kurangnya empat atau lima serangan berbahaya pasukan lawan diselamatkan Nurul Azurin berikutan ketangkasannya mendakap bola dan membaca arah serangan pelawat.
Permainan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dalam hujan lebat sepanjang separuh masa pertama, menyebabkan banyak percaturan permainan gagal menepati sasaran, terutama Sabah FA.
Sementara itu, Azurin merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir atas sokongan yang diberikan pada perlawanan itu semalam.
“Terima kasih juga kepada Sabah. Terima kasih kerana memilih saya, tetapi saya rasa ini adalah usaha pasukan. Bukan sahaja usaha saya.
“Saya rasa semua orang berikan yang terbaik untuk permainan hari ini (semalam),saya rasa ini adalah hasil yang adil. Semua orang berikan 100 peratus. Mereka sangat terbaik dalam permainan. Jadi semua orang adalah ‘Men Of The Match’ pada malam ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FA WOMEN