HomeIsu tempatanOpenbook@UMS: Meningkatkan akses pendidikan secara digital

Openbook@UMS: Meningkatkan akses pendidikan secara digital

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Commonwealth of Learning (COL) telah melancarkan platform inovatif “Openbook@UMS” dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS baru-baru ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang menekankan kepentingan inisiatif ini dalam menyediakan sumber pendidikan tanpa kos kepada pelajar dan keluarga B40.

Menurut Abdul Rahman, Openbook@UMS akan memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan menawarkan rujukan terkini dalam format digital yang boleh diakses melalui peranti mudah alih biasa.

“Platform ini bukan sahaja memudahkan akses kepada bahan pendidikan berkualiti tinggi, tetapi juga menyokong objektif kerajaan untuk memastikan pendidikan lebih inklusif dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.

“Openbook@UMS akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan keluarga B40 dengan menyediakan sumber pendidikan tanpa kos,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam ucapannya menyatakan bahawa Openbook@UMS adalah platform yang mesra pengguna dan inovatif yang bakal menginspirasi pensyarah untuk membangunkan buku terbuka multimedia interaktif.

“Ini akan meningkatkan kualiti kandungan kursus dan keterlihatan pensyarah serta UMS di peringkat global,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat E-Pembelajaran, Prof. Dr. Fong Soon Fook memaklumkan, projek Openbook@UMS merupakan hasil daripada perjanjian yang dimeterai antara UMS dan COL pada 8 September 2023.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha global untuk memperluas penggunaan Sumber Pendidikan Terbuka (OER), dengan tujuan menjadikan bahan pendidikan lebih mudah diakses dan berpatutan bagi pelajar serta pendidik di seluruh dunia.

“Platform ini disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA).

“Platform ini yang mula dibuka kepada umum pada 27 Ogos 2024, dikeluarkan di bawah lesen Creative Commons, membolehkan ia diakses, digunakan, dan diedarkan secara percuma oleh sesiapa sahaja,” katanya.

Tambah beliau, dengan ciri-ciri mesra pengguna dan serba boleh, Openbook@UMS memudahkan penciptaan, penyesuaian, dan perkongsian buku teks yang interaktif dan berorientasikan web.

“UMS berharap Openbook@UMS akan menjadi model contoh bagi universiti awam di Malaysia dan seterusnya menggalakkan kerjasama antara semua institusi pendidikan tinggi dalam negara.

“Melalui inisiatif ini, UMS berhasrat untuk memupuk inovasi dalam pendidikan tinggi dan mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti,” ujar Dr. Fong.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular