HomePendapatCabaran kos sara hidup semakin meningkat, antara punca ramai memilih perancangan keluarga

Cabaran kos sara hidup semakin meningkat, antara punca ramai memilih perancangan keluarga

Read Time:5 Minute, 11 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Anggaran Penduduk Malaysia 2024. Menurut laporan berkenaan, penduduk Malaysia kini berjumlah 34.1 juta orang. Jumlah penduduk negara telah meningkat 1.9% dari 33.4 juta orang (2023).

2.        Secara ringkas-nya:

  • Selangor memiliki jumlah penduduk paling ramai, iaitu 7.363 juta orang, merangkumi 21.6% dari keseluruhan penduduk negara
  • Perlis memiliki jumlah penduduk paling sedikit, iaitu 0.2968 juta orang
  • Sabah merekodkan pertumbuhan penduduk tertinggi, iaitu 4.0%
  • Perak merekodkan pertumbuhan penduduk terendah, iaitu 1.1%

3.        Sebenarnya, pertumbuhan penduduk Malaysia di pacu oleh pertumbuhan penduduk bukan warganegara. Tatkala penduduk warganegara meningkat sebanyak 0.7%, penduduk bukan warganegara pula telah meningkat berlipat kali ganda pada kadar 13.6%.

Sama juga, pada tahun 2023, penduduk warganegara hanya meningkat sebanyak 0.8%, manakala penduduk bukan warganegara telah meningkat 17.1%.

4.        Kadar pertumbuhan mendadak tersebut telah menyaksikan jumlah penduduk bukan warganegara meningkat seramai 0.4 juta orang, dari 3.0 juta (2023) kepada 3.4 juta (2024). Sementara peratusan pula telah meningkat dari 8.9% (2023) kepada 10% (2024).

5.        Jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara yang besar ini terhasil memandangkan Malaysia bergantung tinggi kepada tenaga kerja asing untuk menggerakkan ekonomi negara. Terutamanya melibatkan pekerjaan 3D (Dirty Dangerous Difficult).

Hakikatnya, rata-rata rakyat Malaysia tidak berminat untuk melakukan pekerjaan 3D yang sering di pandang rendah.

6.        Oleh kerana itu, peratusan penduduk bekerja bukan warganegara senantiasa tinggi, dan hampir mencecah 15% pada suatu ketika, sebelum menurun mendadak semasa pandemik Covid-19 (2020 – 2022).

7.        Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh 2023, peratusan penduduk bekerja bukan warganegara telah meningkat kepada 12.7% (2.004 juta orang) daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja negara (15.8134 juta orang).

8.        Memahami isu kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12: 2021 – 2025), Kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran jumlah pekerja asing mestilah tidak melebihi 15% daripada jumlah penduduk bekerja menjelang tahun 2025.

9.        Namun begitu, trend peningkatan pekerja asing di jangka akan berterusan sekiranya rakyat Malaysia masih tidak berminat untuk melaksanakan pekerjaan 3D. Ini memaksa Kerajaan Malaysia untuk membenarkan pengambilan pekerja asing demi kesejahteraan ekonomi negara. Jika tidak, ekonomi negara akan sengsara.

10.      Sebagai contoh. Sepanjang pandemik Covid-19, ramai pekerja asing telah pulang ke negara asal. Ini telah menyebabkan sektor perladangan kelapa sawit negara menghadapi kekurangan pekerja yang meruncing sehinggakan mencatat kerugian berbillion-billion ringgit.

11.      Di samping itu, Laporan Anggaran Penduduk Malaysia 2024 berkenaan menunjukkan Malaysia sedang menuju ke tahap ‘negara tua’, di mana jumlah serta peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas semakin membesar.

12.      Pada tahun 2024, peratusan golongan 60 tahun ke atas telah meningkat sedikit kepada 11.6% dari 11.3% (2023), manakala golongan muda (0 – 14 tahun) pula telah menurun kepada 22.2% dari 22.7% (2023).

Bahkan, situasi ini telah menyebabkan umur penengah/ median age penduduk negara telah meningkat dari 30.7 tahun (2023) kepada 30.9 tahun (2024).

13.      Malah, menurut data DOSM, dalam tempoh masa 54 tahun (1970 – 2024), peratusan golongan 65 tahun ke atas telah meningkat lebih 200%, sementara peratusan golongan umur muda (0 – 14 tahun) telah menurun 50%.

14.      Fakta menarik: Sebagaimana di terima-pakai oleh United Nations World Assembly on Ageing (1982), Malaysia mentakrifkan warga tua/ emas sebagai individu yang berumur 60 tahun ke atas.

15.      United Nations (UN) telah menetapkan 3 kategori penuaan, bersandarkan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas:

Oleh yang demikian, Malaysia sudah pun mencapai tahap ageing society, dengan 7.7% penduduk berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2024.

16.      Berdasarkan unjuran penduduk Malaysia 2010 – 2040, peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas di jangka mencapai 15% pada tahun 2030.

17.      Kenapa ini berlaku?

18.      Punca utama ialah Kadar Kelahiran negara telah menurun secara berterusan dalam tempoh masa 50 tahun, dari 32.4 orang (1970) kepada 14.5 orang (2020).

19.      Pada masa yang sama, Kadar Kesuburan negara juga telah menurun dari 4.0 orang (1980) kepada 1.8 orang (2020).

Kadar Kesuburan merujuk kepada purata bilangan anak yang akan di lahirkan oleh seseorang wanita sepanjang tempoh reproduktifnya, iaitu sepanjang berumur 15 – 49 tahun.

Dalam bahasa mudah, pada tahun 2020, secara purata seorang wanita hanya melahirkan 1.8 orang anak, berbanding 4.0 orang anak pada tahun 1980.

20.      Penurunan ketara Kadar Kelahiran dan Kadar Kesuburan negara adalah kerana kelewatan berkahwin. Menurut data DOSM, dalam tempoh masa 3 dekad, purata umur kahwin penduduk Malaysia telah meningkat dari 24.7 tahun (1990) kepada 28.9 tahun (2022).

21.      Manakala, menurut laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 3 sebab utama wanita memilih untuk lewat berkahwin adalah:

  • ketiadaan calon sesuai (35.7%)
  • masalah kewangan (26%)
  • fokus kepada kerjaya (18.1%)

22.      Tidaklah mengejutkan wanita menghadapi cabaran mendapat calon kahwin yang sesuai memandangkan pencapaian dan kelayakan pendidikan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

23.      Untuk sekian lama, jumlah pelajar wanita di universiti awam negara melebihi 60%. Sebagai contoh. Bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda untuk Sesi Akademik 2023/ 2024, daripada sejumlah 70,156 calon yang berjaya mendapat tawaran, 64.6% (45,310 orang) adalah wanita.

24.      Dengan kelayakan pendidikan yang tinggi, lebih ramai wanita memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dan mencapai kebebasan kewangan/ financial independence, seterusnya menangguhkan perkahwinan.

25.      Tambahan lagi, dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai juga memilih perancangan keluarga untuk tidak memiliki bilangan anak yang ramai.

26.      Sekiranya situasi berkenaan berlanjutan dan lebih memburuk, sudah pasti Malaysia akan mencapai tahap negara tua pada kadar yang pantas.

27.      Akhirnya, ianya akan memberi implikasi besar kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial negara.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Kenapa ratusan ribu peminjam culas bayar balik pinjaman PTPTN?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular