HomePolitikTeras kerajaan pusat itu parti nasional, teras negeri perlu lokal - Armizan

Teras kerajaan pusat itu parti nasional, teras negeri perlu lokal – Armizan

Read Time:1 Minute, 49 Second

KUDAT: Sabah United tidak seharusnya hanya dirujuk kepada kesatuan parti-parti, tetapi kesatuan rakyat di Sabah secara keseluruhannya, kata Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Ini kerana katanya, pra syarat kepada kekuatan suara dan kuasa tawar-menawar (bargaining power) itu adalah kesatuan rakyat di Sabah itu sendiri.

Jelas Armizan, Sabah yang Bersatu (Sabah United) adalah salah satu daripada empat teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan) dan Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya).

“Oleh itu, demi mewujudkan Sabah yang bersatu dan kuat, sungguhpun GRS merupakan gabungan parti lokal, namun GRS perlu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai sokongan signifikan rakyat di Sabah,” katanya sambil menambah kayu ukur kekuatan sokongan rakyat kepada sesuatu parti itu pula adalah rekod dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Bertemu Masyarakat & Kempen Kibar Jalur Gemilang bertempat di Dewan Tomborungus, Kudat, hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menegaskan selagi mana wujud parti nasional yang mendapat sokongan besar rakyat di Sabah, maka kita perlu membuka ruang untuk bekerjasama untuk membentuk kestabilan politik.

“Namun begitu, apa yang ingin kita perjuangkan adalah dalam kerjasama itu, prinsipnya yang pertama adalah teras iaitu teraju utama kerajaan pusat itu parti nasional, dan teras kerajaan negeri itu seharusnya parti lokal.

“Ini penting kerana parti nasional akan cenderung melihat kepada naratif dan kepentingan nasional, manakala parti lokal akan memberikan keutamaan kepada isu dan kepentingan tempatan,” tegasnya.

Beliau berkata, mana-mana parti yang bersama membentuk kerajaan negeri perlu bersetuju untuk meletakkan hak dan kepentingan negeri sebagai teras hala tuju dan agenda kerajaan negeri.

“Kerjasama itu harus dibina atas keyakinan di antara satu sama lain sebagaimana kebersamaan dalam kerajaan negeri hari ini apabila Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) tampil secara ikhlas menyokong pengekalan ketua menteri daripada GRS atas keyakinan kepada kebersamaan demi kestabilan dan pembangunan negeri.

“Kita perlu ada parti nasional dan kerajaan pusat yang melihat kepada hala tuju negara, dan kita juga amat memerlukan parti lokal dan kerajaan negeri yang menumpukan sepenuh fokus kepada pembinaan Sabah yang lebih maju dan berjaya,” jelas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular