HomeSukanEddy bakal terima ganjaran lumayan termasuk elaun bulanan sepanjang hayat

Eddy bakal terima ganjaran lumayan termasuk elaun bulanan sepanjang hayat

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Atlet Paralimpik dari Sabah, Eddy Bernard yang berjaya meraih pingat gangsa pada temasya sukan Paralimpik Paris 2024 dalam acara 100m (T44) bakal menerima ganjaran lumayan atas pencapaiannya.

Eddy yang mewakili Malaysia pada temasya itu bakal menerima ganjaran daripada Kerajaan selain elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, anak jati Beluran itu akan menerima sebanyak RM100,000 dan elaun bulanan SITO berjumlah RM2,000 sepanjang hayat.

“Hari pertama tiba di Paris, saya telah berjumpa dengan Eddy Bernard pemenang pingat gangsa Paralimpik Paris 2024 acara larian 100m T44.

“Ucapan tahniah dan syabas kepada anak muda Beluran, Sabah ini yang telah memecahkan rekod baru Asia sepantas 11.58s. Seperti pemenang pingat gangsa Olimpik, Eddy akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 dan elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM2000 sepanjang hayat,” katanya.

Hannah berkata demikian dalam hantaran di Facebook rasminya pagi tadi.

Semalam, Eddy berjaya meraih pingat gangsa pertama untuk Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di de France.

Eddy berjaya melintasi garisan penamat dengan mencatat 11.58 saat yang sebelum itu bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan.

Penampilan sulung atlet berusia 23 tahun itu di Sukan Paralimpik turut berjaya memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.

Eddy juga mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan berprestij dunia di Kobe itu.

Sementara itu, pingat emas bagi acara itu telah dimenangi  atlet mewakili Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi  milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s. – SABAH MEDIA / FOTO FB HANNAH YEOH

RELATED ARTICLES
Sukan

Sheron, Tahira juara Larian Timpohon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular