HomeIsu tempatanJHEKS cakna tanggungjawab terhadap masyarakat luar bandar

JHEKS cakna tanggungjawab terhadap masyarakat luar bandar

Read Time:2 Minute, 17 Second

Beluran: Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS) bukan sekadar berperanan dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan, tetapi turut menyumbang kepada masyarakat melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Samad Jambri berkata, penganjuran program CSR tersebut merupakan tonggak berterusan pihak kerajaan untuk menyelami dan membantu keperluan masyarakat setempat melalui program-program yang bermanfaat.

“Suka saya menyatakan disini bahawa menjadi satu keperluan untuk kerajaan negeri, persekutuan dan kesatuan sekerja untuk terus bergerak bersama agar mencapai definisi Malaysia Madani yang sentiasa dekat dengan masyarakat di semua lapisan.

“Pada hari ini kita dapat melihat kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan pedalaman.

“Melalui program sebegini kita mampu menyantuni masyarakat Kampung Kolapis Beluran dengan pelbagai bantuan dan kemudahan. 

“Ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat, terutama mereka yang kurang bernasib baik dan prasarana sekolah di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demimian ketika merasmikan Program ‘CSR Ride Back to Community: Pemangkin Generasi Madani Kesemua Bangsa’ anjuran JHEKS Sabah di Sekolah Kebangsaan Kolapis di sini. 

Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata penganjuran program secara kolaborasi yang diterajui JHEKS serta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Malaysian Trades Union Congress (MTUC), pejabat daerah serta kesatuan-kesatuan sekerja membuktikan dengan berganding bahu hasil yang lebih besar dapat dibawa dan dinikmati bersama.

“Saya percaya bahawa kerjasama ini dapat menjadi contoh bagi program-program kemasyarakatan yang lain dan dengan bersatu padu, kita dapat mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan membangun negara yang lebih maju.

“Sebagai contoh, sumbangan Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Wilayah Persekutuan Labuan) yang membina pentas sekolah ini, manakala Kesatuan Pekerja-Pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd telah membuat pembaikan pendawaian sekolah dan memasang lampu solar serta program mengecat Pusat Sumber oleh JHEKS dan sumbangan buku dan Al-Quran oleh Kumpulan Karangkraf sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada sekolah, guru dan anak-anak Kampung Kolapis.

“Selain itu, Sabah Medical Services Union (SMSU) telah menyediakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah telah memberikan demonstrasi pemadaman api dan menyumbangkan pemadam api, dan masih banyak lagi.

“Sumbangan-sumbangan ini tidak hanya bersifat material, tetapi juga dari aspek pendidikan dan kesihatan dan kesejahteraan kepada komuniti setempat,” katanya.

Pada majlis tersebut beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama JHEKS Negeri Sabah kerana membawa 10 kesatuan sekerja untuk menjalankan program CSR dan memilih Kampung Kolapis, Beluran sebagai penerima manfaat pada tahun ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JHEKS Malaysia Mohd Asri Abdul Wahab, Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat, Timbalan Presiden MTUC Sabah Margaret Chin, Pegawai Daerah Beluran Roger Appolonius, Guru Besar SK Kolapis Beluran Mohd Parizal Abd Rahman serta Pengarah JHEKS Sabah Noraini Ithnin.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Aura Ustaz Abdul Somad tarik perhatian 10,000 umat Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular