HomeUtamaSemangat kesepaduan, toleransi dalam kepelbagaian budaya kunci keharmonian masyarakat

Semangat kesepaduan, toleransi dalam kepelbagaian budaya kunci keharmonian masyarakat

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu: Semangat kesepaduan dan toleransi dalam kepelbagaian budaya dan agama merupakan kunci kepada keharmonian masyarakat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya merupakan cerminan terbaik keunikan Malaysia .

Ini kerana katanya, setiap sudut di negeri ini memperlihatkan pemandangan harmoni di mana pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup bersama dengan aman.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah kita sedar bahawa semangat kesepaduan dan toleransi dalam kepelbagaian budaya adalah asas negara kita serta saling hormat-menghormati  antara kaum dan agama adalah kunci kepada keharmonian masyarakat kita.

“Marilah kita bersama berdoa agar negara kita terus mengekalkan kepelbagaian dan toleransi semoga Sabah terus dilimpahi dengan kesejahteraan, kedamaian dan kemakmuran kita berdoa agar negeri ini sentiasa terhindar daripada sebarang malapetaka dan bencana.

“Semoga rakyat terus bersatu padu dalam membina masa depan yang lebih cerah dan cemerlang terutama untuk generasi akan datang. Di negara ini kita berkongsi satu Impian yang sama iaitu berusaha ke arah Malaysia yang lebih makmur, aman dan bersatu padu tidak kira agama dan bangsa.

“Oleh itu, kita berkumpul bersama dalam program ini dengan kehadiran ketua dan wakil-wakil persatuan badan keagamaan untuk mendoakan dan mengungkapkan harapan kita terhadap masa depan negara,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Doa Sayangi Malaysia yang dilaksanakan oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), Joise Lai.

Dalam pada itu, Christina menyatakan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah atas usaha penganjuran Program Doa Sayangi Malaysia dan ia turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus mempertahankan keamanan, kerukunan dan perpaduan yang dinikmati selama ini.

Hadir sama, Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Dr. T.C. Goh, Timbalan Presiden FCAS, Datuk Susan Wong dan wakil Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mohd Nazrin Shah Nasip.

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular