Kota Kinabalu : Peminat seni teater di negeri ini berpeluang untuk menyaksikan sebuah teater muzikal lagenda bertajuk Duzung, The Origin of Hampo Rungus yang bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 20 September ini
Pementasan teater yang dipersembahkan dengan kerjasama Pertubuhan Produksi Seni Kreatif Kota Kinabalu (Perkasih), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Stage Production itu akan berlangsung di Auditorium JKKN Sabah.
Pengerusi Perkasih, Datin Vinnie Nursyahirah Abdullah berkata, teater muzikal itu adalah berdasarkan mitos etnik suku kaum Rungus dan merupakan hasil cetusan idea serta skrip daripada Anang Moo dan diarahkan oleh Sharifuddin Zainal.
Katanya, ia juga adalah ilham dan cetusan idea bagi membawa aspek seni budaya kaum Rungus, khasnya dari kawasan Pitas.
“Kita ingin perkenalkan mitos Duzung versi Rungus, kerana kisah ini mengetengahkan budaya dan identiti Rungus dan busana yang digayakan.
“Untuk pementasan tiga hari itu, kita sasarkan untuk mendapat kunjungan hampir 2,000 penonton,” katanya dalam sidang media di sini.
Menurutnya lagi, peminat seni teater yang ingin menyaksikan pementasan teater itu bolehlah menempah pas masuk dengan menghubungi 013-5654143/
“Pas masuk adalah berharga RM100 dan RM75 untuk platinum; RM50 dan RM35 untuk gold dan RM35 dan RM25 untuk silver,” katanya. – SABAH MEDIA