Kota Kinabalu : Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak leka dengan pencapaian yang ada berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 sudah semakin hampir.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, sebagai parti yang memerintah kerajaan, seluruh jentera perlu sedar bahawa mereka memikul tugas dan tanggungjawab besar mempertahankan parti.
Katanya, setiap jentera harus bergerak secara proaktif bagi mendekati akar umbi dalam memberi penjelasan mengenai apa sahaja isu yang timbul selain mendapatkan maklum balas mengenai masalah dan keperluan rakyat.
“PRN sudah semakin hampir dan kita sebagai jentera parti tidak boleh lagi leka hanya kerana kita berada di pihak kerajaan.
“Hakikatnya berada di pihak kerajaan lebih sukar untuk mempertahankan pencapaian yang ada memandangkan pembangkang boleh bercakap dan berjanji mengenai apa sahaja walaupun realitinya mereka tidak mampu,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kepayan di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kepayan Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Emmy Datuk Martin Idang, Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Exco Wanita Gagasan Rakyat Dr Davina Datuk Markus Majihi dan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din.
Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, setiap program di peringkat akar umbi tidak boleh dilaksanakan secara one-off sahaja sebaliknya perlu ada susulan termasuk memperkasakan program yang telah disempurnakan.
“Kita juga perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri. Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik.
“Begitu juga tanpa pasukan tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita. Mereka hanya bekerja mencari kelemahan sedangkan kita sebagai kerajaan bekerja membela nasib dan masa depan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, tanpa jentera yang berkesan, sukar bagi kerajaan untuk memberi kefahaman jelas kepada rakyat di peringkat akar umbi khususnya mengenai isu-isu berkaitan dengan ekonomi, kestabilan dan keselamatan.
“Rakyat perlu memahami betapa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan dipimpin oleh orang yang berkebolehan. Bukan semua parti boleh menjadi kerajaan dan bukan semua orang boleh memimpin dengan baik.
“Rakyat perlu dijelaskan bahawa pimpinn kerajaan hari ini sudah mempunyai trek rekod yang baik dan mesti disokong serta diberi mandat untuk meneruskan pemerintahan secara stabil, aman dan berkesan,” katanya. – SABAH MEDIA