HomeUtamaKerajaan komited lahirkan belia berilmu, kemahiran, kepemimpinan

Kerajaan komited lahirkan belia berilmu, kemahiran, kepemimpinan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, ,ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.

“Sebab itu sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

“Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. 

“Justeru, YMM memainkan peranan penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pihaknya berharap YMM Sabah akan membuka lebih ruang untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia daripada berbilang kaum menyertai pertubuhan ini, termasuklah menyantuni golongan itu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar menerusi program jangkauan luar (outreach).

Katanya, ini bagi memastikan belia-belia di kawasan pinggir bandar dan luar bandar juga berpeluang menyertai pelbagai latihan, program pendidikan, kaunseling dan pendidikan sosial bagi meningkatkan potensi mereka.

Menurutnya, YMM Sabah sebagai pertubuhan belia bertaraf ‘Lima Bintang’ yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan telah berjaya memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan dan memperkasakan golongan belia di negeri ini.

Katanya, menerusi usaha dilakukan oleh YMM, ramai golongan muda telah dibimbing dan diasah bakat mereka menerusi pelbagai program latihan yang dianjurkan bagi melahirkan golongan belia yang berfikiran lebih kritis, bertindak lebih matang dari segi politik, ekonomi, budaya dan pendidikan.

“Saya berharap YMM terus berusaha gigih untuk menyemai nilai-nilai murni di kalangan belia supaya menjadi individu yang berdedikasi, rasional dan ikhlas serta sentiasa menyertai kegiatan-kegiatan belia, seterusnya menyumbangkan tenaga dalam arus pembangunan negara.

“Ini adalah selari dengan dasar kerajaan memperkukuhkan modal insan yang berkualiti. Ini bagi memastikan YMM kekal relevan dalam memperkasakan golomham belia di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular