HomeUtamaPembangkang sengaja 'butakan mata' - Hajiji

Pembangkang sengaja ‘butakan mata’ – Hajiji

Read Time:1 Minute, 34 Second

Tuaran : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kritikan pembangkang terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja ‘membutakan mata’.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, ini kerana pihak pembangkang enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

Hajiji memberi contoh, isu air dan jalan raya yang sering diperkatakan pembangkang ketika ini bukan masalah baharu, sebaliknya diwarisi daripada kerajaan sebelum ini berikutan beberapa tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka.

Katanya, ia termasuk menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan penamatan konsesi syarikat sebelum ini.

“Mereka sudah diberi kepercayaan, tapi apa mereka buat dua tahun setengah memerintah melainkan membalas dendam dengan memotong kontrak yang dilulus kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Masalah air dan jalan raya sekarang, apabila mereka ambil alih kerajaan, tiada lain dibuat selain memotong kontrak yang sudah ada perjanjian mengurus loji air atau jalan di kampung.

“Akibat pembatalan yang mereka buat itu, kerajaan terpaksa bayar beratus juta kepada konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulah jadi tidak ketentuan. Contohnya, air paip masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka.

“Tapi, dalam media sosial kata GRS gagal. Siapa sebenarnya yang gagal, merekalah yang gagal. Sebab itu ketika mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu turut menyifatkan  pembangkang  hanya  pandai  bercakap  besar  dan menyalahkan kerajaan sekarang tanpa mempedulikan apa yang dilakukan mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi.

Ini kerana beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang benar-benar mampu membawa Sabah ke arah kemajuan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Antara 5 Negeri Terima Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular