HomeUtamaJetama Sdn Bhd sumbang ambulan, bantu lebih ramai terima manfaat pengangkutan perubatan

Jetama Sdn Bhd sumbang ambulan, bantu lebih ramai terima manfaat pengangkutan perubatan

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Sabah Development Berhad (SDB) menerusi anak syarikatnya, Jetama Sdn Bhd telah menyumbang sebuah ambulan kepada Persatuan Perkhidmatan Ambulan Lions (LASS) Kota Kinabalu.

Pengerusi SDB, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata,  sumbangan yang dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat pengangkutan perubatan yang lebih cepat dan boleh dipercayai.

Selain itu katanya, ia juga turut menjadi contoh kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain dalam memenuhi tanggungjawab memperkasakan komuniti yang dilayani.

“Pendekatan yang dilaksanakan Jetama Sdn Bhd ini adalah contoh yang wajar diikuti semua GLC dan syarikat senarai awam dalam membantu masyarakat.

“Bagi SDB, khususnya Jetama, CSR syarikat ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan rakyat di seluruh negeri.

“Kita sentiasa komited untuk melaksanakan program CSR kepada rakyat Sabah kerana sebagai GLC, ia lebih mudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci daripada Jetama kepada LASS Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan dan timbalannya, Datuk Juhari Janan; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang dan Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui.

Majlis itu sebagai simbolik penyerahan sebuah ambulans serba lengkap untuk kegunaan persatuan berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan di sekitar Kota Kinabalu.

Frankie berkata, sumbangan CSR seumpama itu juga akan diperluaskan ke kawasan lain seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna, bergantung kepada keperluan penduduk.

Terdahulu dalam ucapannya, Frankie berkata sebagai GLC, peranan Jetama bukan saja dalam pembangunan infrastruktur atau korporat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan perkhidmatan kesihatan masyarakat. 

“Penyediaan sebuah ambulans hari ini adalah bukti kepada visi bersama kita untuk mewujudkan Sabah yang lebih selamat dan sihat.

“LASS melakukan kerja luar biasa dalam menyediakan perkhidmatan yang cepat dan menyelamatkan nyawa kepada mereka yang memerlukan. 

“Kerjasama ini adalah peluang bagi kami untuk memberi kembali dan memperkukuh kapasiti untuk terus memberikan perkhidmatan yang amat bernilai kepada masyarakat.

“Dengan sumbangan ini, kami berharap dapat meningkatkan kecekapan dan capaian Perkhidmatan Ambulans Lions, memastikan lebih ramai orang mendapat manfaat daripada pengangkutan perubatan yang lebih pantas dan boleh dipercayai,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular