Kota Kinabalu : Kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu baru-baru ini adalah saty berita baik buat seluruh rakyat Sabah.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu membuktikan bahawa negeri Sabah berdaulat dalam Malaysia.
Katanya, ia sekali gus menamatkan tuntutan dari Kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi.
“PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.
“Kejayaan ini merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, PBRS akan terus menyokong segala usaha daripada kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.
“Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA