HomeIsu tempatanMUIS serah sumbangan kepada Masjid Daerah Tungku

MUIS serah sumbangan kepada Masjid Daerah Tungku

Read Time:2 Minute, 28 Second

Lahad Datu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Masjid Daerah Tungku.

Pengerusi Masjid, OKK Mohamed Nurom berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi tujuan menyelaras dan memperkasa program-program keagamaan masjid agar terus berkembang.

“Kesemua sumbangan yang kita dapat ini akan digunakan untuk mengimarahkan program-program keagamaan di masjid selain membantu pihak-pihak yang memerlukan seperti menghidupkan kelas-kelas bimbingan bagi saudara baru mendalami agama Islam.

“Kita juga akan melengkapkan lagi kemudahan-kemudahan dalam masjid ini bagi kegunaan para jemaah menunaikan solat selain untuk mengadakan program-program keagamaan seperti sambutan Maal Hijrah, Awal Muharram dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Penyerahan tersebut disampaikan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang turut menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Daerah Kecil Tungku.

Di samping itu, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (Baitulmal) juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM4,000 kepada pengurusan masjid dan RM3,000 kepada Kelas Bimbingan Saudara Baru (KBSK) Masjid.

Mohamed turut menzahirkan kesyukuran atas perasmian Masjid tersebut yang sememangnya sangat diperlukan oleh penduduk setempat.

“Daerah ini dianggarkan mempunyai 30,000 penduduk yang kebanyakan beragama Islam, jadi kita sangat memerlukan satu pusat atau tempat yang luas untuk kita menjalankan program-program keagamaan seperti Maal Hijrah, Awal Muharam dan sebagainya, sebelum ini hanya terdapat masjid dan surau-surau yang kecil sekitar daerah ini dan terletak jauh antara satu dengan lain.

“Alhamdulillah, masjid ini sekarang menjadi tempat pelbagai program keagamaan, antara yang kita laksanakan sekarang adalah mengadakan kelas-kelas pengajian keagamaan setiap hari bagi golongan mualaf yang ramai juga di sini.

“Kita juga mengadakan ceramah, tazkirah kepada jemaah setiap kali sebelum dan selepas solat, selain mengadakan kelas-kelas belajar mengaji kepada anak-anak penduduk sekitar sini dan sambutan sangat baik.

“Dari segi kapasiti, masjid bertingkat ini boleh menampung sekitar 800 jemaah dalam satu masa turut dilengkapi dengan penghawa dingin bagi semua ruang solat, ruang terbuka yang luas, bilik tempat wuduk yang luas dapat menampung 12 jemaah dalam satu masa yang terpisah antara lelaki dan wanita termasuk bilik air yang luas.

“Dalam masa terdekat iaitu pada bulan Ramadan akan datang, pihak Ahli Jawatankuasa kami telah berbincang untuk membuka bazar ramadan di persekitaran masjid ini memandangkan kawasannya yang cukup luas dan terletak di kawasan strategik untuk dikunjungi,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan Tun Juhar menyantuni 85 asnaf dan 15 asnaf kurang upaya warga emas daerah Tungku menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Baitulmal serta Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS.

Hadir sama, isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusuf Apdal, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku, Assafal @ Samsul Kamal Panglima Alian, Timbalan Yang DiPertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengerusi Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

20 kes pokok tumbang dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular