Kota Kinabalu: Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) secara rasmi telah menyerahkan pengurusan dan operasi Sapangar Bay Container Port (SBCP) kepada DP World, peneraju global dalam logistik rantaian bekalan pintar dari hujung ke hujung.
Mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak atas perkembangan penting ini, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menekankan bahawa kerjasama strategik antara SPSB dan DP World memperlihatkan potensi Sabah sebagai pemain utama dalam perdagangan serantau dan global.
“Pelaburan DP World di SBCP jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap lokasi strategik Sabah dan prospek pertumbuhannya yang menjanjikan.
“Perkongsian ini akan menjadikan SBCP sebagai hab perdagangan serantau yang terkemuka dalam BIMP-EAGA dan seterusnya, sekaligus memperkukuhkan pengaruh dan peranan Sabah dalam rantaian bekalan global,” tegas beliau.
Hajiji berkata bahawa dengan meningkatkan kecekapan pelabuhan dan kesalinghubungan, perkongsian ini akan membuka pasaran baru untuk perniagaan Sabah, khususnya perusahaan kecil dan sederhana. Ini akan memperkasakan perniagaan tempatan untuk memperluaskan capaian mereka dan bersaing dengan lebih berkesan di peringkat global, sekaligus memacu kemakmuran ekonomi.
“Saya menantikan integrasi teknologi logistik canggih dan pintar, yang akan memodenkan operasi pelabuhan di Sabah, memastikan pelabuhan kita kekal kompetitif dalam persekitaran perdagangan global yang berkembang pesat.”
“Saya memuji Sabah Ports Sdn Bhd atas visi dan dedikasi mereka dalam memastikan perkongsian bersejarah ini serta meletakkan asas untuk pertumbuhan dan peluang bagi Sabah,” katanya.
Menandatangani bagi pihak SPSB adalah Pengerusinya, Datuk Hj Faisyal Datuk Yusof Hamdan Diego dan Pengarah Urusan Datuk Ng Kiat Min, manakala EVP Asia Tenggara DP World/Pengarah SBCP Sdn Bhd, Xavier Eiglier dan Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan DP World Asia Pasifik/Pengarah Urusan SBCP Sdn Bhd, Safuan Basir, menandatangani bagi pihak DP World.
Sementara itu, kerjasama yang dijalankan melalui syarikat usaha sama, SBCP Sdn Bhd (yang akan dinamakan semula sebagai DP World Sabah Sdn Bhd) menandakan kemajuan besar dalam landskap maritim dan logistik Sabah serta menandakan kemasukan pertama DP World ke pasaran Malaysia.
Di bawah kerjasama ini, SPSB dan DP World komited untuk menjadikan SBCP sebagai hab perdagangan serantau yang terkemuka, khususnya untuk Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Fokus strategik akan meliputi peningkatan kesalinghubungan, kecekapan operasi, dan kapasiti terminal SBCP, dengan memanfaatkan rangkaian global dan kepakaran luas DP World.
Kerjasama ini bertujuan untuk meletakkan SBCP sebagai pelabuhan yang berdaya saing di peringkat global, mengaktifkan perdagangan dan mewujudkan hubungan kukuh antara perniagaan tempatan dan pasaran antarabangsa. Perkongsian ini juga dijangka akan menangani cabaran lama kos logistik yang tinggi di Sabah dengan mewujudkan rangkaian rantaian bekalan yang berdaya tahan dan cekap.
Perkongsian ini terbentuk pada April 2024 apabila Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DP World, Encik Sultan Ahmed Bin Sulayem, menandatangani perjanjian strategik, termasuk antara lain, Perjanjian Langganan Saham dan Perjanjian Pemegang Saham untuk usaha sama dan Perjanjian Kerjasama antara usaha sama dan SPSB.
Penyerahan operasi berlangsung pada 9 September 2024 yang menandakan permulaan transformasi SBCP dan integrasi ke dalam rangkaian pelabuhan dan logistik luas DP World di seluruh dunia.
DP World, beribu pejabat di Dubai, mempunyai operasi di lebih 70 negara dan terkenal dengan peranannya dalam menjadikan Dubai sebagai hab perdagangan global melalui pembangunan Pelabuhan Jebel Ali dan Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA).