KOTA KINABALU — Sabah Development Bank (SDB) telah memfailkan saman terhadap Ho Hup Construction Company Bhd dan anak syarikatnya, Ho Hup Ventures (KK) Sdn Bhd, sebanyak RM46.85 juta bagi pinjaman yang diberikan kepada Golden Wave Sdn Bhd.
Ho Hup telah diserahkan saman tersebut pada Ogos 2024 sebagai penjamin korporat untuk Golden Wave, yang sedang membangunkan projek pembangunan bercampur di Kota Kinabalu yang dikenali sebagai The Crown.
Memetik laporan The Edge Tuntutan saman ini dibuat selepas permohonan pengurusan kehakiman oleh Golden Wave, yang menyebabkan moratorium terhadap tuntutan ke atas syarikat tersebut.
SDB menarik balik kesnya terhadap Golden Wave tetapi mengekalkan saman terhadap Ho Hup dan anak syarikatnya.
Selain itu, Ho Hup kini berhadapan dengan masalah kewangan, dengan kerugian yang semakin meningkat dan dua petisyen penggulungan difailkan terhadap anak syarikatnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd, berhubung hutang yang belum dibayar.
Ho Hup sedang mendapatkan nasihat guaman dan berbincang dengan SDB untuk menyelesaikan perkara ini. Namun, masih terlalu awal untuk menilai kesan kewangan daripada cabaran undang-undang ini.
Untuk rekod Ho Hup memperoleh 70% pegangan dalam Golden Wave melalui HHVKK pada 2015 daripada Agro Padi Sdn Bhd dengan harga RM30 juta, yang membolehkan kumpulan itu memperoleh pemilikan tanah pajakan komersial seluas lima ekar di Kota Kinabalu.
Pada 12 Jun 2018, syarikat itu memeterai perjanjian kemudahan dengan SDB. Kemudahan itu dipercayai akan digunakan untuk pembangunan projek campuran The Crown, yang dilancarkan pada September 2019.
Eko Bina Sdn Bhd, anak syarikat Ecobuilt Holdings Bhd (KL: ECOHLDS ), telah dianugerahkan kontrak RM166.37 juta pada Januari 2021 untuk kerja-kerja pembinaan untuk bangunan utama, kerja luaran untuk pangsapuri runcit dan servis.
Tidak diketahui sama ada Golden Wave telah melanggar perjanjian kemudahannya dengan SDB. Walau bagaimanapun, pada Ogos 2023, Eko Bina telah mengeluarkan notis adjudikasi kepada Golden Wave berhubung pertikaian pembayaran yang berkaitan dengan projek pangsapuri servis dan unit runcit di Kota Kinabalu.
Eko Bina meminta RM23.16 juta daripada Golden Wave berhubung bayaran yang perlu dibayar semasa proses pembinaan dan memenangi kes itu.