TONGOD: Daerah Tongod yang sering dikategorikan antara daerah termiskin di Malaysia dijangka mengalami transformasi besar menerusi cadangan pembangunan Bandar Baharu Milenium yang bakal dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata projek berimpak tinggi itu akan dibangunkan di kawasan seluas 1,000 ekar menerusi kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan negeri.
Menurutnya, cadangan pembangunan tersebut telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod minggu lalu.
Sebelum itu, Hajiji bersama Masiung menerima taklimat daripada delegasi Corak Nahkoda Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Urusannya di Sabah, Robin Lim, berhubung cadangan pembangunan bandar baharu berkenaan.
Terdahulu, Ketua Menteri turut merasmikan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod sebelum menghadiri majlis perasmian Pesta Kaamatan daerah itu.
Masiung berkata, syarikat terbabit telah menyatakan hasrat menyediakan tanah seluas 1,000 ekar berhampiran Pekan Tongod bagi merealisasikan projek mega yang disifatkan sebagai antara pembangunan paling penting di kawasan pedalaman Sabah.
Daripada keluasan tersebut, katanya, kira-kira 200 ekar akan diperuntukkan untuk membangunkan pusat pentadbiran yang menempatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan berkonsepkan mini Putrajaya.
“Jabatan-jabatan kerajaan yang kini beroperasi secara berasingan di daerah ini akan ditempatkan di satu pusat pentadbiran yang dilengkapi kemudahan digital dan teknologi maklumat,” katanya.
Menurut beliau, Tongod kini berada di ambang fasa transformasi baharu yang dijangka mengubah wajah daerah yang dikenali sebagai ‘The Heart of Sabah’ itu.
Cadangan Bandar Baharu Milenium tersebut turut melibatkan pembinaan bangunan komersial dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, stesen minyak, pasar raya, hotel serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembangunan kawasan perindustrian, perumahan kos sederhana dan mampu milik, hospital, sekolah, padang golf serta kemudahan rekreasi awam.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan lanjut dengan pengurusan Corak Nahkoda dan pihak berkepentingan bagi meneliti serta menambah baik cadangan pembangunan sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.
Beliau berkata, projek pembangunan bercampur itu dijangka mampu mengubah status Tongod sebagai antara daerah paling kurang membangun di negara ini.
“Projek ini berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka lebih banyak ruang perniagaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa komponen pembangunan yang dicadangkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan beberapa elemen tambahan akan dipertimbangkan bagi memastikan manfaat maksimum kepada ekonomi rakyat.
Menurutnya, Bandar Baharu Milenium bakal menjadi pemangkin transformasi moden yang dapat merapatkan jurang pembangunan antara Tongod dan kawasan lain di Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri ini.
Jika dilaksanakan mengikut perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang, projek itu dijangka menjadi titik perubahan penting yang mampu mengangkat kedudukan Tongod sebagai daerah yang lebih maju dan berdaya saing.



