PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan insiden pergaduhan yang berlaku di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.
Menurut beliau, pergaduhan tersebut tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Setakat ini, beberapa individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang mengenal pasti semua individu yang terlibat selain mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya, rakaman video yang tular di media sosial turut sedang diteliti bagi mendapatkan maklumat lanjut dan melengkapkan siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
Pada masa sama, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



