HomeIsu tempatanUMS dan industri mahu bangunkan industri minyak dan gas Sabah

UMS dan industri mahu bangunkan industri minyak dan gas Sabah

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu: Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani surat niat (LoI) dengan Petrotechnical Inspection (M) Sdn. Bhd. bagi menjalankan penyelidikan serta pembangunan industri minyak dan gas khususnya di Sabah. 

Dekan FKJ, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Ismail Saad berkata, UMS memerlukan kerjasama dengan pihak industri untuk meningkatkan keupayaan akademik dan pengalaman kepada para pelajar FKJ dalam menyumbang kepada pembangunan bidang minyak dan gas.

“FKJ mempunyai program minyak dan gas maka kita akan mengadakan kerjasama dari segi pertukaran akademik dan pertukaran pelajar, kita juga memerlukan kepakaran daripada jurutera-jurutera di Petrotechnical Inspection untuk melatih pelajar-pelajar kita.

“FKJ UMS akan meneruskan penempatan latihan industri pelajar di Petrotechnical Inspection, di mana ketika ini juga pelajar-pelajar kita sedang menjalani latihan industri di sana. 

“Saya berharap dengan kerjasama ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan FKJ serta meneroka lebih banyak peluang penyelidikan bersama pihak industri,” katanya.

Tambah Ismail, FKJ mempunyai para penyelidik yang mahir dalam bidang minyak dan gas, maka kolaborasi tersebut akan merancakkan bidang penyelidikan dan pembangunan industri tersebut. 

Pada majlis menandatangani LoI, UMS diwakili Ismail manakala Petrotechnical Inspection diwakili Pengurus Perniagaan, Kanthavel Rengathan sempena Persidangan Antarabangsa ke-3 mengenai Teknologi dan Aplikasi Industri Minyak dan Gas (ICOG-ITA) 2024, hari ini. 

Merasmikan ICOG-ITA, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, persidangan tersebut bertujuan menyatukan ahli profesional industri, ahli akademik, dan pemimpin berkongsi pengetahuan, pandangan, dan inovasi yang akan membentuk masa depan sektor minyak dan gas.

“Selain itu, persidangan ini juga menyediakan platform unik untuk industri dan akademik menyatukan usaha, berkongsi penyelidikan yang berinovatif, dan membina kerjasama yang akan membantu menghadapi cabaran dan peluang yang akan datang.

“UMS komited untuk memacu inovasi dalam tenaga melalui penyelidikan antara disiplin, melahirkan generasi jurutera dan saintis yang bukan sahaja dilengkapi dengan kepakaran teknikal tetapi juga sedar akan peranan mereka dalam mewujudkan masa depan yang mampan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

“Saya percaya bahawa pendidikan dan penyelidikan adalah pemacu utama kepada kemajuan.

“Perbincangan dan pembentangan pada persidangan ini akan menyumbang kepada kejayaan masa depan industri serta memastikan ia kekal dinamik dan mampan ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan cekap,” tambah Kasim. 

Seramai 50 peserta termasuk dari negara Rusia, Indonesia dan Filipina menyertai persidangan tersebut yang diadakan selama dua hari secara hibrid di Klagan Regency, Kota Kinabalu. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Siswa UMS santuni komuniti kampung di Tambunan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular