HomePolitikPRN17 SABAH: Pastikan GRS-PH Plus menang kerusi DUN Melalap

PRN17 SABAH: Pastikan GRS-PH Plus menang kerusi DUN Melalap

Read Time:1 Minute, 43 Second

TENOM: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihanraya Negeri akan datang.

“Saya tidak mahu rakyat di Melalap rugi kerana diwakili pembangkang. Oleh itu saya mahu ahli-ahli Gabungan Rakyat Sabah agar bersatu hati bagi memastikan kemenangan bergaya bagi GRS-PH Plus di DUN Melalap ini,” kata Hajiji ketika menghadiri Mesyuarat Parti Gagasan Rakyat Bahagian DUN Melalap di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji sentiasa mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin untuk belajar daripada kesilapan lampau.

Katanya, Sabah ketinggalan akibat perpecahan, sejarah politik di Sabah asyik bergaduh. Ini harus jadi pengajaran, kalau bersatu hati dan bersandarkan kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, negeri Sabah akan mendapat perubahan yang begitu besar di masa hadapan.

“Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti berbilang kaum dan inilah matlamat perjuangan Parti Gagasan Rakyat Sabah untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan,” tegasnya.

Berkenaan usul-usul yang diluluskan Gagasan Rakyat Bahagian Melalap semasa Mesyuarat Tahunannya, Hajiji yang juga Ketua Menteri memberi jaminan akan meneliti dan menimbang sebaik mungkin.

“Terutamanya berkenaan tanah, terdapat banyak permohonan yang dibuat bertahun lamanya tetapi sehingga sekarang belum mendapat kelulusan. Saya ingin tahu mengapa ini terjadi,” katanya.

Menurut Hajiji, terdapat tanah perkampungan yang didirikan dalam kawasan Hutan Simpan.

Justeru, beliau akan keluarkan supaya rakyat dapat tinggal di atas tanah rezab kampung yang sah.

Hajiji turut menegaskan setelah kerajaan GRS -PH Plus ambil alih kerajaan, beribu-ribu ekar tanah telah dikeluarkan daripada Hutan Simpan di seluruh Sabah.

“Kita akan ambil perhatian yang serius tentang isu yang sama di daerah Tenom ini,” katanya.

Pada perjumpaan itu, Hajiji turut menerima 1,500 borang keahlian baharu Gagasan Rakyat Bahagian Melalap.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa bencana alam yang melanda Tenom pada 17 September lalu.

Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap Datuk Jamawi Jaafar, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong Datuk Rubin Balang, Bendahari Agung Gagasan Rakyat Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua komponen GRS dan Pakatan Harapan.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Beliawanis Gagasan Rakyat komited dekati kumpulan UNDI18

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular