HomeUtamaKerajaan GRS-PH berjaya rekod pencapaian signifikan dalam tempoh 4 tahun

Kerajaan GRS-PH berjaya rekod pencapaian signifikan dalam tempoh 4 tahun

Read Time:2 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) berjaya merekodkan beberapa pencapaian yang signifikan dalam tempoh empat tahun pemerintahan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu termasuklah dalam soal ekonomi, pembangunan, sosial dan keperluan rakyat.

“Kerajaan berjaya meningkatkan hasil negeri, dengan mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2021(RM5.45 bilion); 2022 (RM6.96 bilion) dan 2023 (RM6.97 bilion).

“Dengan hasil yang bertambah kerajaan berupaya melaksanakan pelbagai program berteraskan rakyat. Antaranya dalam bidang pendidikan, kerajaan perkenalkan inisiatif BUDI sejak tahun 2021.

“Inisiatif itu adalah untuk membantu para pelajar Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT dengan pemberian sebanyak RM2,000 (ijazah sarjana muda) dan RM1,500 (diploma, asasi dan matrikulasi),” katanya dalam sesi temubual khas yang di muat naik di Facebook rasminya hari ini. 

Hajiji berkata, Kerajaan turut memperkenalkan inisiatif BAKTI yang memanfaatkan puluhan ribu pelajar Sabah yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan pemberian RM200 seorang. 

Selain itu katanya, Kerajaan turut menyalurkan bantuan RM2,000 kepada semua PIBG sekolah seluruh negeri selain inisiatif BALKIS yang membolehkan sekolah-sekolah memohon untuk melaksanakan pembaikan kecil-kecilan berjumlah RM50,000. 

“Kerajaan turut memperkenalkan subsidi kapal terbang kepada pelajar kita yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan dengan pemberian sebanyak RM600. Pastinya inisiatif ini akan terus dilaksanakan malah ditambah baik pada masa akan datang.

“Selain itu juga, Kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan Rumah Mesra SMJ sejak tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak 20 unit setiap kawasan DUN. Insha Allah kita akan tambah peruntukan kepada 40 unit bagi setiap kawasan DUN pada tahun hadapan. 

“Ini kita lakukan bagi memastikan golongan miskin di negeri ini memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa untuk diduduki. Ada banyak lagi inisiatif yang kita laksanakan melalui peningkatan hasil kerajaan negeri yang saya nyatakan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan turut memberi fokus kepada sektor pelaburan yang mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. 

Katanya, Kerajaan turut berupaya mencatatkan peningkatan KDNK negeri empat tahun berturut-turut sejak 2021 selain mengekalkan prestasi pertumbuhan ekonomi positif dengan unjuran empat peratus hingga 4.5 peratus pada tahun ini.

“Saya yakin, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh saya dan kerajaan ini untuk terus membela nasib rakyat Sabah. Saya berazam untuk terus berusaha menjadi ketua kerajaan yang kompeten demi masa depan negeri tercinta ini,” katanya.

“Dengan sokongan semua pihak khususnya rakan-rakan dalam kerajaan GRS PH Plus selain dibantu dengan kecekapan penyampaian penjawat awam dan sokongan padu rakyat Sabah secara keseluruhan, saya optimis kita boleh membawa Sabah lebih maju dan jaya pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata, dengan iltizam dan keazaman beliau bersama pimpinan negeri akan terus merancang dan melaksana dasar kerajaan melalui Hala Tuju SMJ yang menjadi panduan kepada pembangunan dan kemajuan Sabah dalam tempoh lima tahun kehadapan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular