HomePendapatKenapa ratusan ribu peminjam culas bayar balik pinjaman PTPTN?

Kenapa ratusan ribu peminjam culas bayar balik pinjaman PTPTN?

Read Time:4 Minute, 17 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia di laporkan berkata bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil tindakan terhadap peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman yang di ambil, walaupun telah menamatkan pengajian untuk tempoh yang lama.

Ini melibatkan sekitar 430,000 peminjam, dengan jumlah pinjaman sebanyak RM 6 bilion.

Fakta menarik: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara. PTPTN bertanggungjawab untuk menguruskan simpanan serta pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, kira-kira 180,000 pelajar menerima bantuan pembiayaan kewangan daripada PTPTN untuk melanjutkan pengajian tinggi setiap tahun.

Ini merangkumi hampir 50% daripada jumlah pelajar (kira-kira 350,000) yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) setiap tahun.

Sebagai perbandingan, pada awal penubuhan PTPTN, jumlah peminjam hanyalah 27,000 orang. Ini bermakna dalam tempoh masa 27 tahun (1997 – 2024), jumlah peminjam telah meningkat berlipat kali ganda. Dengan jumlah peminjam yang telah meningkat tinggi, jumlah pinjaman juga telah meningkat berlipat kali ganda.

Peningkatan ini membuktikan kejayaan PTPTN memberi akses kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pembiayaan pendidikan dengan mudah dan pantas. Dengan pembiayaan yang di perolehi, rakyat Malaysia dapat melanjutkan pengajian di IPT dan seterusnya boleh memiliki pengetahuan, kepakaran dan kemahiran.

Berdasarkan maklumat terakhir yang ada, sejak penubuhannya, PTPTN telah berjaya membantu jutaan rakyat Malaysia melanjutkan pengajian tinggi, dengan jumlah dana pembiayaan yang begitu besar.

Jumlah Pinjaman RM65.60 bilion

Pada masa yang sama, PTPTN turut menguruskan dana simpanan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ianya di perkenalkan pada tahun 2004, sebagai satu tabung simpanan untuk ibubapa merancang keperluan kewangan anak-anak bagi pengajian tinggi.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, sikap tidak bertanggungjawab peminjam yang tidak membayar balik pinjaman telah menjejaskan kedudukan kewangan PTPTN, me dan meletakkannya di tahap yang membimbangkan.

Secara ringkasnya, model pembiayaan PTPTN bergantung kepada pembayaran balik pinjaman yang di keluarkan kepada peminjam. Tatkala ada money out kepada peminjam, mesti ada money in dari peminjam. Ini membolehkan model pembiayaan ini beterusan secara mampan dan lancar.

Pembayaran balik dari peminjam membolehkan PTPTN memberi pinjaman kepada pemohon baru.

Dalam bahasa mudah, sekiranya ramai peminjam tidak membayar balik pinjaman yang telah di keluarkan, PTPTN akan mengalami kekurangan dana kewangan untuk memberi pinjaman kepada para pelajar baru yang memohon.

Maka, sikap tidak bertanggungjawab peminjam sebegitu amatlah tidak adil kepada pemohon baru yang memerlukan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian tinggi. Bayangkan berapa ramai pelajar yang boleh di bantu sekiranya PTPTN dapat mengutip kembali jumlah RM 6 bilion tersebut.

Persoalannya, kenapa ratusan ribu peminjam yang culas untuk membayar balik pinjaman PTPTN?

Dengan pelbagai alasan telah di utarakan, akhirnya peminjam terbabit boleh di rumuskan kepada dua kumpulan iaitu tidak mampu untuk membayar balik pinjaman dan tiada keinginan untuk membayar balik pinjaman.

Kemungkinan besar majoriti peminjam sememangnya tidak berkemampuan untuk membayar balik pinjaman yang telah di perolehi. Situasi ini mungkin terhasil ekoran kegagalan untuk mendapat pekerjaan yang memberikan gaji yang setimpal dengan kelayakan yang di miliki, ataupun pekerjaan yang memberikan gaji bermaruah.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia merekodkan Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran yang tinggi. Ini merujuk kepada tenaga kerja yang memiliki pendidikan tertiari, tetapi bekerja di dalam kategori separuh mahir dan kemahiran rendah.

Dalam kata lain, tenaga kerja terbabit melaksanakan pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan yang di miliki. Ini turut di kenali sebagai underemployment.

Laporan Tenaga Buruh Suku Tahun Ke-2 2024 menunjukkan lebih satu pertiga daripada tenaga kerja berpendidikan tertiari berada di dalam situasi underemployment, di mana Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran berada pada tahap 37.0%, dengan jumlah seramai 1.94 juta orang.

Malah, lebih membimbangkan ialah Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran telah mencatatkan trend peningkatan. Dalam tempoh masa 8 tahun (2015 – 2023), kadar tersebut telah meningkat dari 30.2% (2015) kepada 36.3% (2023).

Manakala, jumlah tenaga kerja terbabit pula telah meningkat tinggi dari 1.163 juta orang (2015) kepada 2.035 juta orang (2023).

Berdasarkan data sediada, situasi underemployment di dalam negara boleh menjadi bertambah buruk. Data DOSM menunjukkan, sepanjang Suku Tahun Ke-2 2024 (April – Jun 2024), sejumlah 31.9 ribu pekerjaan baru telah di wujudkan di dalam ekonomi negara.

Daripada jumlah tersebut, hanya 8.5 ribu (26.7%) adalah pekerjaan tahap mahir. Selebihnya adalah pekerjaan tahap separuh mahir (20.02 ribu: 62.9%) dan kemahiran rendah (3.33 ribu: 10.4%).

Maka, jelas begitu ramai pekerja di Malaysia terperangkap di dalam situasi underemployment. Ini menyebabkan pekerja terbabit memperolehi pendapatan yang rendah dan tidak setimpal dengan kelayakan yang di miliki. Dan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat masakini, mereka juga menghadapi isu kesejahteraan hidup, terutamanya kehidupan di bandar.

Lebih malang lagi, situasi underemployment ini boleh melemahkan semangat dan merendahkan self-esteem pekerja terbabit. Ini sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada kesihatan mental pekerja terbabit, sekiranya berlanjutan untuk tempoh masa yang lama.

Namun begitu, walau apa pun alasan serta situasi yang di alami, peminjam wajib membayar balik pinjaman PTPTN, hatta sedikit demi sedikit. Kalau dulu beriya-iya mendapatkan pinjaman, sewajarnya sekarang beriya-riya juga untuk membayar balik pinjaman.

Peluang pendidikan sudah di nikmati. Jangan pula menidakkan peluang rakyat Malaysia yang lain.

PTPTN adalah peluang kejayaan rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Antara 5 Negeri Terima Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular