Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus berusaha menjadikan penyelidikan serta inovasi sebagai alat memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penyelidikan merupakan salah satu usaha secara langsung yang dapat memberikan impak yang positif dan nyata dalam kehidupan.
Katanya, penyelidikan bertujuan mengenal pasti keperluan dan cabaran yang dihadapi di samping mencari solusi yang inovatif dan praktikal.
“Hari ini kita dapat saksikan bagaimana penyelidikan serta inovasi dalam bidang pertanian, kesihatan, pendidikan dan sumber asli boleh membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
“Contohnya, penyelidikan dalam teknik pertanian moden boleh membantu meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berbahaya,” katanya.
Kasim berkata, UMS sentiasa komited untuk memastikan hasil penyelidikan tidak terperuk dalam laporan akademik sahaja bahkan manfaatnya akan dikongsi kepada masyarakat.
“Di sinilah pentingnya peranan penyelidikan dan inovasi kerana dengan menerapkan pendekatan penyelidikan yang berfokus pada cabaran-cabaran ini, kita dapat mencari solusi mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan daya saing perdagangan dalam negeri.
“Misalnya dalam sektor pertanian, penyelidikan kita boleh memfokuskan kepada pembangunan teknik pertanian yang lebih efisien dan mampan.
“Ini termasuk penggunaan teknologi baru yang boleh meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos operasi, seperti penggunaan baja dan racun yang lebih efisien, serta sistem pengairan yang lebih canggih,” katanya.
Tambah beliau cara tersebut dapat mengurangkan kos pengeluaran serta membantu menurunkan harga barangan keperluan dan meningkatkan pendapatan para petani.
Beliau berkata demikian pada Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan Tahun 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, baru-baru ini.
Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan dianjurkan bersempena Simposium Penyelidikan UMS-RES 2 Tahun 2024 yang turut membentangkan sebanyak 57 kertas penyelidikan.
Simposium Penyelidikan UMS-RES 2 Tahun 2024 merupakan kesinambungan dari penganjuran tahun lalu yang berlangsung di Kudat sebagai usaha berterusan Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS mengadakan Pemantauan Geran Dalaman bagi geran UMS Great.