HomeIsu tempatanNDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam pengurusan bencana dengan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Daerah Kota Belud, baru-baru ini. 

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, antara intipati perbincangan bersama Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton adalah mengenai fungsi, peranan dan beberapa penyelidikan seperti gempa bumi, banjir dan hakisan pantai yang dijalankan oleh pusat berkenaan. 

Katanya, aktiviti Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di daerah itu telah dilancarkan pada 30 April lalu serta pembentukan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Bencana Melangkap telah dibentuk melibatkan wakil daripada komuniti lima buah kampung di Melangkap Baru, Melangkap Tiong, Melangkap Tomis, Melangkap Kapa dan Melangkap Noriou. 

“Jawatankuasa Task Force Bencana Alam Melangkap merupakan yang pertama ditubuhkan di Sabah. Tujuannya untuk melatih komuniti agar lebih bersiap-siaga dan berdayatahan terhadap bencana.

“Pasukan task force komuniti yang telah dibentuk ini akan bertindak serta-merta sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan mereka sementara menunggu bantuan daripada agensi penyelamat,” katanya.

Sementara itu Peter Jiton menyambut baik usaha yang dijalankan oleh pihak NDRC UMS dan berharap agar pusat tersebut bekerjasama dengan pengurusan bencana daerah melalui sumbangan khidmat nasihat dan kepakaran, penyelidikan, penganjuran Program Kesedaran Awam Bencana Alam atau Seminar Bencana Alam di Kota Belud.

“Kepakaran para penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS ini penting sebagai input dalam pengurusan bencana peringkat daerah Kota Belud dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana alam seterusnya memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. 

Turut hadir dalam kunjungan tersebut, Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Pegawai Penyelidik NDRC UMS Eldawaty Madran serta Penolong Pegawai Daerah Kota Belud (Pembangunan), Sabdali Yusof. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular