Klang : Kerajaan Sabah menyokong hasrat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk untuk membina masjid bercirikan seni bina cina di negeri itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, cadangan itu dilihat sebagai satu langkah dakwah di Sabah.
“Hari ini saya bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam dan pegawai-pegawai agensi agama di Sabah melawat Masjid Jamek Cina Muslim Kajang yang terletak di Bandar Baru Klang.
“Kita juga telah menerima cadangan dari MACMA yang dipengerusikan oleh Prof Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin dimana beliau ada menyatakan pada saya cadangan untuk membawa atau membina masjid bercirikan senibina cina di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas mengadakan lawatan ke masjid berkenaan di sini pagi tadi.
Arifin berkata, Masjid Jamek Cina Muslim Kajang itu dilihat unik dan menarik dengan seni bina bercirikan cina.
Katanya, pihaknya yakin masjid itu akan menjadi tumpuan kepada pelancong disamping para jemaah.
“Suasananya sangat istimewa kerana masjid ini membawa seni bina dan nilai daripada masyarakat cina,” katanya. – SABAH MEDIA