Penampang : Pasangan yang ingin berkahwin khususnya di negeri ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan talasemia.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun berkata, saringan itu penting bagi membantu mengurangkan kadar pesakit talasemia di Sabah.
“Sabah adalah negeri yang mempunyai jumlah pesakit talasemia tertinggi di seluruh Malaysia iaitu lebih daripada 1,900 pesakit berdaftar.
“Oleh itu, diingatkan kepada pasangan-pasangan untuk menjalani ujian saringan talasemia agar dapat membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan anak-anak daripada menghidapi pesakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri sabah 2024 di sini, baru-baru ini.
Mandela berkata, pihaknya juga menyeru rakyat di negeri ini untuk menderma darah dan menggalakkan keluarga, saudara mara dan kawan-kawan agar turut berbuat demikian.
“Di samping dapat mempromosikan budaya hidup sihat, golongan muda juga berperanan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan darah bagi membantu permintaan darah yang semakin meningkat,” katanya
Sementara itu, Ketua Kepakaran Perubatan Transfusi Negeri Sabah, Dr. Shahnaz Irwani Sabri turut menyeru kepada ibu bapa untuk memberikan kebenaran untuk ujian saringan talasemia dijalankan kepada anak-anak mereka.
“Ujian saringan talasemia ini diadakan kepada semua pelajar tingkatan empat secara percuma di sekolah.
“Secara statistik, masih ramai ibubapa yang tidak memberikan kebenaran untuk ujian ini dijalankan ke atas anak-anak mereka dan kami berharap agar ibu bapa dapat memberikan kebenaran,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh Perkhidmatan Perubatan Transfusi Negeri Sabah itu mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 200 beg darah.
Hadir sama, Ketua Perubatan Transfusi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Dr. Jamaluddin Mail, Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim dan wakil Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. Saliz Mazrina Shaharom.