Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini menyampaikan sumbangan peribadi berupa komputer riba kepada dua pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kurang berkemampuan.
Dua pelajar itu adalah pelajar Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Crisnanalina Jumis yang berasal dari Paitan dan pelajar Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Nor Fasha Natashya Abdul Rahim berasal dari Tawau.
Crisnanalina dan Nor Fasha sebelum ini dilaporkan menolak tawaran kemasukan ke UMS berikutan mengalami masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka.
Penyerahan sumbangan itu telah disampaikan Setiausaha Perhubungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir bagi mewakili Tun Juhar di Bangunan Canselori UMS.
Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu adalah Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.
Mohd Rashid dalam sidang medianya berkata, Tun Juhar terpanggil untuk membantu dua pelajar berkenaan selepas membaca berita yang disiarkan akhbar tempatan sebelum ini.
“Pada petang ini, saya hadir mewakili Tuan Yang Terutama Tun menyampaikan sumbantan peribadi Tun kepada dua pelajar yang kurang berkemampuan dimana pada mulanya Tun terbaca dalam akhbar tempatan yang mengatakan ada pelajar UMS yang tidak dapat melanjutkan pengajian atas masalah kewangan untuk mendapatr sebagai pelajar di UMS.
“Justeru Tun telah mengarahkan saya untuk berhubung dengan pihak UMS iaitu dengan Datuk Kasim sebagai Naib Canselor dan kebetulan juga Tun adalah Canselor di UMS. Tun juga telah mengarahkan saya untuk membuat pembayaran pendaftaran untuk Crisnanalina dari Paitan dan Nor Fasha Natashya dari Tawau,” katanya.
Rashid berkata, selain pembayaran yuran, Tun Juhar turut menyerahkan komputer riba kepada dua pelajar berkenaan untuk digunakan sepanjang pengajian di UMS.
Crisnanalina dan Nor Fasha Natashya sebelum ini dilaporkan terpaksa menolak tawaran akibat menghadapi masalah kewangan yang dihadapi keluarga terutama bagi tujuan pendaftaran. – SABAH MEDIA