HomeUtamaLangkah terbaik diambil jadikan pelaburan di Sabah sangat menarik

Langkah terbaik diambil jadikan pelaburan di Sabah sangat menarik

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu : Sabah telah mengambil langkah-langkah terbaik bagi menjadikan pelaburan di negeri ini sangat menarik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,083 km yang kini dalam pembinaan dan menjanjikan perubahan besar.

Ini kerana katanya, ia akan menghubungkan Sabah dengan Sarawak, Brunei dan Indonesia apabila siap nanti.

“Sabah juga sedang memanfaatkan kerjasama dengan DP World, peneraju global dalam hab logistik, untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti terminal Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, sekali gus mengurangkan kos logistik semasa dan membangunkannya sebagai hab perdagangan serantau utama, terutamanya untuk wilayah BIMP-EAGA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, Sabah juga telah melancarkan Pelan Induk dan Sabah Energy Roadmap bagi memastikan bekalan kuasa yang stabil dan boleh dipercayai dalam tahun-tahun akan datang.

“Kami sudah bersedia untuk menjana 700MW dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memenuhi permintaan awal. 

“Kami juga sedang menerokai tenaga hidro, turbin angin, tenaga solar dan OTEC untuk meningkatkan lagi bekalan. Jika Sabah membangunkan sektor tenaga hijau sepenuhnya, negeri ini berpotensi untuk menyediakan sehingga 75 peratus daripada tenaga hijau negara,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan besar juga telah diperuntukkan untuk menangani masalah kekurangan air, dengan sebahagian daripadanya ditujukan kepada penyelesaian segera dan jangka pendek.

“Projek Ulu Padas, sebuah loji kuasa hidro yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada bulan Disember tahun lalu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Ia akan menjana 187MW kuasa dan membekalkan sehingga 6,000 juta liter air sehari, jauh melebihi keperluan semasa kami sekitar 1,600 juta liter sehari (MLD). 

“Ini adalah pelan jangka panjang kami untuk memastikan bekalan air untuk 80 sehingga 100 tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dibawah kepimpinannya akan memudahkan pelaburan dengan cekap.

“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menangani semua keperluan perniagaan anda, supaya anda tidak perlu berdepan dengan kelewatan untuk memulakan perniagaan anda.

“Contoh yang baik ialah pelaburan Sabah Kibing Solar dan SK Nexilis Copper Foil, yang hanya mengambil masa lapan bulan untuk memulakan operasi,” katanya.

Hajiji yakin bahawa SIBEC 2024 akan menjadi pemangkin untuk memajukan Ekonomi Biru negeri ini, menjadi platform untuk berinteraksi dengan ilmu pengetahuan global dalam bidang ini, menarik pelabur tempatan dan antarabangsa serta pemain industri. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tawar peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular