HomeUtamaSabah tawar peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru

Sabah tawar peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu: Sabah menawarkan peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru apabila potensi hasil tahunan negeri yang dianggarkan lebih daripada 491,000 metrik tan ikan dan udang bernilai RM3.25 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini kurang daripada 50 peratus potensi tangkapan telah diterokai. 

Katanya, walaupun terdapat lebih 3,000 vesel nelayan, kebanyakannya beroperasi dalam lingkungan 30 batu nautika dari pantai.

“Sekarang, hanya tujuh vesel beroperasi di kawasan laut dalam. Ini merupakan peluang bagi nelayan industri untuk menubuhkan lebih banyak kemudahan pemprosesan hasil laut dalam.

“Autonomi yang diberikan kepada Sabah untuk meluluskan dan mengeluarkan lesen aktiviti maritim seperti perikanan laut dalam memberi kelebihan besar kepada negeri dalam membangunkan Ekonomi Biru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis perasmian SIBEC dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru bukan sahaja tentang perikanan laut dalam tetapi terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai.

Katanya,  antaranya tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin.

Beliau juga menyatakan potensi menarik untuk menjana tenaga melalui lautan.

“Pada April tahun ini, kami meluluskan Akta Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC) yang membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah meneroka teknologi ini sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara permukaan laut yang hangat dan air dalam yang sejuk untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bahan api.

“Teknologi ini mempunyai impak rendah terhadap alam sekitar dan dapat menghasilkan air bersih untuk minuman dan pertanian. Ia juga boleh menyediakan penyejukan serta tenaga boleh dipercayai untuk komuniti pesisir,” katanya.

Beliau menambah bahawa Sabah memiliki garis pantai sepanjang lebih 1,700 kilometer dan 75 peratus daripada rizab tenaga terma laut Malaysia berada di perairan Sabah.

“Kajian menunjukkan bahawa Sabah boleh menghasilkan sehingga 20,000MW elektrik. Kerajaan Negeri Sabah kini sedang mencari kerjasama dengan pelabur untuk memanfaatkan tenaga ini. Ini adalah peluang emas bagi Sabah untuk menjadi peneraju dalam penjanaan tenaga hijau dan menyelesaikan masalah tenaga kita,” katanya.

Beliau juga menyatakan potensi Sabah untuk membekalkan elektrik kepada negara jiran seperti Indonesia, memandangkan lokasi kolam OTEC yang dekat dengan Kalimantan. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Langkah terbaik diambil jadikan pelaburan di Sabah sangat menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular