HomeUtamaPerobohan penempatan atas air penduduk Kg Sembulan Tengah ditangguhkan - Shahelmey

Perobohan penempatan atas air penduduk Kg Sembulan Tengah ditangguhkan – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menangguhkan perobohan penempatan atas air penduduk Kampung Sembulan Tengah yang terlibat dalam kawasan Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, notis perobohan yang sepatutnya pada 1 November ini namun atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap beberapa isu yang dibangkitkan penduduk terlibat, perobohan itu ditangguhkan.

“Isu ini menjadi sedikit hangat apabila pada awal bulan atau pada bulan lepas pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis perobohan dan perpindahan kepada unit-unit yang terlibat yang mana semua tempoh pajakannya telah pun tamat.

“Daripada kesan pengeluaran notis tersebut ada dua kali sesi perbincangan secara rasmi telah diadakan, pertama kali di Dewan Sembulan ini dan yang terkini pada 8 Oktober dibuat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

“Hasil daripada perbincangan yang telah dilakukan dan juga komunikasi berterusan saya bersama Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, kita bersetuju bahawa notis perobohan yang pada mulanya dijadualkan pada 14 Oktober dan 1 November itu, kita tangguhkan. Jadi tidak ada perobohan dalam tempoh yang terdekat,” jelas Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan penempatan atas air Kg Sembulan di sini, hari ini.

Bagaimanapun Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, perobohan struktur yang uzur dan tidak selamat akan tetap dilaksanakan.

“Namun demikian pihak DBKK juga memaklumkan saya ada beberapa pemilik lot yang walaupun tempoh pajakan telah tamat mereka melihat bahawa beberapa struktur rumah di lot-lot mereka yang terlibat itu adalah dalam keadaan agak uzur yang mungkin boleh mengundang risiko keselamatan. Jadi mereka bersetuju untuk dirobohkan sekiranya perlu dirobohkan,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa perobohan itu juga tidaklah dilaksanakan secara serta merta tetapi akan memaklumkan kepada penduduk terlibat terlebih dahulu.

“Jadi ini adalah satu tindakan yang akan dilakukan oleh pihak DBKK namun demikian sebagaimana yang telah kita berbincang perobohan bukan akan dilakukan secara serta-merta, secara mengejut secara tidak ada makluman tetapi jika ada keperluan untuk meroboh pihak DBKK akan memaklumkan penduduk kampung yang terlibat terhadap tindakan susulan yang akan mereka lakukan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Shahelmey berkata, mengenai pembangunan semula Sembulan itu, pelantikan pemaju belum dimuktamadkan.

“Isu berkenaan dengan pembangunan semula ini keputusan ataupun pelantikan pemaju belum lagi muktamad itu nanti akan dimuktamadkan oleh pihak DBKK.

“Selain itu, kita juga mendengar suara-suara daripada pemilik-pemilik lot yang terlibat, penduduk kampung yang terlibat yang mereka begitu khuatir sekiranya pembangunan semula Sembulan ini diteruskan maka mereka akan hilang tempat tinggal.

“Justeru itu, kerajaan kita adalah kerajaan yang prihatin terhadap isu rakyat, kita tidak akan membiarkan satu tindakan yang drastik yang menghalau ataupun membiarkan penduduk yang terlibat dalam pembangunan hilang tempat tinggal, jadi pihak kerajaan melalui DBKK dan beberapa agensi sedang memikirkan formula bagaimana apabila pembangunan semula sembulan ini akan digerakkan mereka yang terlibat akan mendapat penempatan yang berpatutan.

“Dalam hal ini saya berasa lega mendengar daripada penglibatan sesi dialog sama ada yang rasmi atau kunjungan-kunjungan mereka ke pejabat saya bahawa secara dasar penduduk Sembulan bersetuju untuk adanya pembangunan semula dengan syarat bahawa mereka dapat penempatan yang setimpal dan juga pampasan.

“Itu nanti akan kita rundingkan dengan antara pihak orang kampung yang terlibat pemilik tanah dan pihak DBKK dan juga pemaju yang terlibat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular