Kudat: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berazam untuk terus memperkasa golongan wanita muda di negeri ini dalam pelbagai bidang.
Ketuanya, Emmie Datuk Martin Idang berkata, ia termasuklah dari sudut kepimpinan, kebajikan pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
“Disebabkan itu, Pergerakan Beliawanis ini telah dijadikan sebagai platform untuk wanita muda menyuarakan pendapat agar kita boleh teruskan perjuangan dalam menjaga kebajikan wanita muda khususnya menerusi parti kita ini,” katanya.
Emmie berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Emmie berkata, ‘Gema Beliawanis’ telah menjadi penggerak dalam menumpukan hubungan secara langsung bersama akar umbi khususnya wanita muda.
“Kita akan mendengar suara-suara anak muda di akar umbi dan mengetahui masalah atau isu seterusnya selain melaksanakan program bersesuaian kehendak mereka.
“Kerana bagi pimpinan tertinggi Beliawanis, ini merupakan salah satu cara untuk kita mendapat keyakinan dan kepercayaan anak-anak muda seperti apa yang dilakukan di Zon 1 ini di mana pengisian programnya sangat baik berbentuk ilmiah seterusnya memberikan kesan positif,” katanya. – SABAH MEDIA