HomeUtamaYayasan Sabah bantu lebih ramai pelajar dapat akses pendidikan

Yayasan Sabah bantu lebih ramai pelajar dapat akses pendidikan

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu : Seramai 7,369 pelajar dan 32 badan pendidikan di negeri ini telah dibantu menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9.7 juta sejak dilancarkan pada Jun 2022.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, TPNS yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu adalah selaras dengan salah satu teras pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.

Katanya, hala tuju itu adalah bagi meningkatkan kualiti modal insan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Melalui TPNS, Yayasan Sabah berjaya membantu lebih ramai pelajar Sabah melanjutkan pengajian tinggi.

“Usaha ini akan meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini, yang merupakan asas kepada pembangunan modal insan dan penggerak kepada sektor ekonomi seperti yang digariskan dalam SMJ.

“TPNS memainkan peranan penting dalam membantu pelajar daripada komuniti terpinggir, terutama dari kawasan pedalaman dan kalangan masyarakat peribumi, dengan memastikan mereka mendapat akses pendidikan yang saksama,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Yayasan Sabah bercadang untuk meningkatkan sumbangan daripada pelbagai syarikat kepada TPNS setiap tahun selama lima tahun akan datang untuk memastikan dana yang stabil dan berkembang untuk generasi masa depan.

Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, pelaburan Yayasan Sabah dalam pendidikan sepanjang tempoh empat tahun lalu dijangka mencecah RM210.5 juta.

Katanya, komitmen kewangan yang besar ini mencerminkan keutamaan strategik Yayasan Sabah dalam membina bakat, meningkatkan akses pendidikan, dan memperkasakan generasi akan datang untuk memastikan pertumbuhan komuniti dan kemajuan mampan.

“Fokus kami terhadap pendidikan, daripada pembangunan kanak-kanak hingga ke pendidikan tinggi, menunjukkan komitmen mendalam kami terhadap pembangunan modal insan Sabah.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah alat transformasi paling berkuasa, dan kami mesti memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang untuk cemerlang dan menyumbang kepada masa depan negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular